Malaysia Techlympics cetus idea, uji bakat, lahir inovasi

Oleh Zihan Zari

KULIM – Perkembangan semasa teknologi seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI), robotik, dron, pengekodan, pengkomputeran dan Internet Kebendaan (IoT) sedang mengubah cara kita bekerja, belajar dan menjalani kehidupan.

Dalam konteks berkenaan, pendedahan kepada teknologi baharu perlu dimulakan lebih awal supaya generasi muda mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dan memanfaatkan teknologi secara strategik.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, bahawa sasaran pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) adalah agar Malaysia mampu bergerak ke hadapan dan bukan hanya sekadar menjadi pengguna teknologi pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Utara bertemakan ‘Luar Biasa, Global, Inklusif’ di Dewan Serbaguna Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi Kedah, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Norsham Abdul Latif; Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian KHTP, Sunita Abdul Aziz; dan Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Sains, Teknologi & Inovasi, MOSTI, Abdullah Daud.

Lih Kang berkata MOSTI dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berazam ingin melahirkan generasi yang mampu mencipta teknologi, mengadaptasi inovasi dan menerajui perubahan.

Katanya, setiap idea yang dicetuskan, setiap masalah yang diselesaikan dan setiap inovasi yang dihasilkan hari ini merupakan langkah kecil ke arah membina masa hadapan Malaysia yang lebih baik, progresif dan maju.

”Malaysia Techlympics memberi ruang kepada pelajar dan belia untuk keluar daripada pembelajaran secara teori kepada pengalaman sebenar melalui pendekatan, pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dan penyelesaian masalah.

“Mereka bukan sekadar belajar tentang teknologi, tetapi diberi peluang untuk menguji idea, mencipta penyelesaian dan menghasilkan inovasi”, katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, pertandingan ini yang bermula dari 8 hingga 9 September menyaksikan seramai 2,108 peserta berdaftar dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak bersaing bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang pada November ini.

Inilah aspirasi yang ingin dibawa melalui Malaysia Techlympics – membina bakat STI untuk menerajui teknologi masa hadapan, seterusnya menyumbang kepada pembentukan sebuah negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan berteraskan teknologi.

Dalam mendepani perubahan teknologi yang semakin pantas, Malaysia memerlukan generasi muda yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi mempunyai keberanian untuk mencipta, keupayaan untuk mengadaptasi dan daya saing untuk menerajui teknologi.

Pada majlis yang sama, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lanjut, Pokok Sena telah mendapat
tempat pertama bagi pertandingan Cabaran Siasatan Jenayah. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat