KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyeru bakal mahasiswa supaya tidak membatalkan hasrat melanjutkan pengajian hanya kerana berdepan kekangan kewangan.
Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad berkata, pihak universiti bersedia membantu pelajar yang menghadapi kesukaran bagi memastikan urusan kemasukan, pendaftaran dan keperluan pembiayaan dapat dipermudahkan.
Menurut beliau, cabaran kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelajar untuk meneruskan cita-cita ke menara gading, sebaliknya mereka digalakkan menghubungi pihak universiti bagi mendapatkan bantuan.
“Sebaik sahaja melangkah dan terpilih ke UPNM, anda secara rasminya menjadi sebahagian daripada keluarga besar kami.
“Cabaran kewangan bukan noktah kepada cita-cita menara gading. Jangan segan, malu dan jangan sesekali membatalkan hasrat untuk belajar.
“Hubungi pihak universiti, datang ke kampus dan kami akan pastikan jalan penyelesaian dibantu bersama. Tiada yang bakal tercicir,” tegasnya.
Kenyataan itu dibuat susulan kes bakal penuntut, Siti Farah Damia Mohd Khairi, 20, yang dilaporkan berdepan kesulitan sebelum memulakan pengajian di universiti berkenaan.
Siti Farah Damia menerima tawaran mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di UPNM bagi sesi akademik 2026/2027 dan telah dihubungi sendiri oleh Arman Rumaizi bagi memastikan urusan kemasukan, pendaftaran serta keperluan pembiayaannya dipermudahkan. UPNM dijangka menerima 1,273 pelajar baharu pada hari pendaftaran, 20 September ini, membabitkan ambilan STPM, Diploma, Matrikulasi, Asasi dan setaraf.
Daripada jumlah itu, 726 merupakan pelajar lelaki manakala 547 lagi pelajar perempuan.
Dalam pada itu, UPNM kini menyelaraskan bantuan kebajikan awal kepada 41 pelajar baharu berkeperluan dari seluruh negara, terdiri daripada 19 lelaki dan 22 perempuan.
Menerusi Program Ziarah Prihatin Pelajar Baharu Berkeperluan yang digerakkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) sejak 7 September lalu, wakil pengurusan universiti turut turun padang menyantuni keluarga pelajar termasuk di Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Dermasiswa dalam bentuk wang tunai turut disampaikan sebagai bantuan awal bagi membantu persediaan pelajar sebelum mendaftar masuk ke universiti.
Setakat ini, lima pelajar berkeperluan kritikal menerima Bantuan Awal Pengajian, Dermasiswa UPNM sebanyak RM1,000 seorang, manakala 18 lagi menerima Bantuan Awal Pendidikan Tinggi (BAPT) Yayasan Perkasa Siswa (YPS) sebanyak RM1,000 seorang, iaitu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Selain bantuan awal pendaftaran, UPNM menyediakan sokongan jangka panjang termasuk Bantuan Komputer Riba dan Program Siswa Sulung kepada mahasiswa kurang berkemampuan bagi menyokong kelancaran pembelajaran sepanjang tempoh pengajian.
Pihak universiti turut menyeru bakal mahasiswa atau ibu bapa yang menghadapi kesulitan berkaitan pendaftaran dan kewangan supaya segera memaklumkan kepada UPNM untuk tindakan susulan.



