MERU, — Sebanyak 1,000 Jalur Gemilang untuk kenderaan diedarkan kepada pengguna jalan raya dan masyarakat sekitar Pekan Meru, Kapar menerusi Program Semarak Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Program anjuran Persatuan Yakinkan Eratkan Sahabatkan Selangor dengan kerjasama Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara itu diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Persatuan Yakinkan Eratkan Sahabatkan Selangor, Mohd Affifi Mohd Aris berkata, program berkenaan bukan sekadar mengagihkan Jalur Gemilang, sebaliknya menjadi medium mendekati masyarakat dan mengajak orang ramai menghayati makna sebenar kemerdekaan.
Mohd Affifi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kapar berkata, Bulan Kebangsaan perlu dimanfaatkan untuk mengukuhkan nilai perpaduan serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu dalam membina negara.
“Bulan Kebangsaan bukan sekadar satu sambutan, tetapi merupakan masa untuk kita menghayati kembali nilai kemerdekaan, perpaduan dan pengorbanan generasi terdahulu.
“Melalui Program Semarak Jalur Gemilang ini, kita mahu menyemarakkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia. Walaupun hanya dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan, ia membawa simbol kecintaan, kesetiaan dan kebersamaan kita kepada negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Trafik IPD Klang Utara atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.
Menurutnya, kerjasama antara pertubuhan masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan komuniti, malah membantu membentuk masyarakat yang lebih harmoni serta bertanggungjawab.
Beliau berharap Program Semarak Jalur Gemilang menjadi pemangkin kepada lebih ramai penduduk khususnya di sekitar Meru, Kapar dan Klang untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan.
“Kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga. Kemerdekaan ini milik kita bersama dan menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan perpaduan serta keharmonian negara,” katanya.



