KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melaksanakan kajian penuh mengenai cadangan sistem percukaian hibrid membabitkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata kajian itu perlu mengambil kira pengalaman pelaksanaan GST sebelum ini serta isu yang timbul daripada pelaksanaan SST ketika ini.
“Perdana Menteri memaklumkan mengenai keperluan untuk Kementerian Kewangan dan khususnya Menteri Kewangan II untuk melakukan kajian penuh mengenai cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST.
“Menteri Kewangan II diberikan sedikit masa untuk sediakan laporan dan bawa semula ke Jemaah Menteri bagi perbincangan lanjut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.
Semalam Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kerajaan terbuka melaksanakan kajian terhadap keperluan menggabungkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.
Menurut Anwar, kerajaan bagaimanapun akan mengekalkan SST sebagai asas sistem percukaian ketika ini, namun tidak menolak kemungkinan menerima beberapa ciri GST yang dilihat sesuai bagi mewujudkan sistem percukaian lebih baik.
“Mengenai GST, SST kita terbuka untuk kaji, untuk perbaiki sistem percukaian tapi kalau nak bercakap pasal GST sahaja, saya punya kebimbangan, seperti yang saya lahirkan berulang kali, ini nak cukai rakyat.
“Maknanya orang yang tak pernah bayar cukai, mesti bayar. Mana kita nak jawab dalam keadaan sekarang? Dengan kos sara hidup, beban rakyat. Sebab itu kita guna pangkal SST, tetapi kalau ada beberapa penyesuaian, boleh kita lakukan,” katanya.


