Terangkan bentuk sebenar Cukai Madani, jangan jadikan rakyat dan peniaga bahan eksperimen – Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Nasional Parti Wawasan Negara Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak menjadikan rakyat dan peniaga sebagai bahan eksperimen Cukai Madani.

Kata Ahli Parlimen Machang itu, Anwar selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan yang menyatakan kerajaan sedang meneliti sistem percukaian baharu yang menggabungkan elemen Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mewujudkan sistem yang dikatakan lebih progresif dan efisien.

Namun katanya, kerajaan perlu menjelaskan dengan terang apakah sebenarnya bentuk sistem “hibrid” ini.

“Pada Januari 2026, kerajaan masih menegaskan GST tidak akan dikembalikan dan SST akan dikekalkan. Kini, hanya beberapa bulan kemudian, kerajaan bercakap tentang menggabungkan kedua-duanya.

“Perubahan dasar sebesar ini tidak boleh dibuat secara cuba-cuba kerana kesannya akan ditanggung oleh jutaan pengguna dan peniaga.

“Kerajaan tidak boleh sekadar berkata mahu mengambil “kelebihan kedua-dua sistem”. GST dan SST mempunyai struktur yang berbeza. Jika mahu digabungkan, rakyat dan dunia perniagaan berhak mengetahui mekanismenya, kadar cukai, skop barangan dan perkhidmatan, threshold pendaftaran serta bagaimana kredit cukai input akan dikendalikan.

“Peniaga perlukan kepastian, bukan eksperimen fiskal,” tegasnya.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) hari ini sudah berdepan pelbagai perubahan serentak.

Menurutnya, mereka sedang menyesuaikan sistem perakaunan dan operasi kepada e-Invois, sambil menanggung peningkatan kos bahan mentah, utiliti, tenaga, logistik dan upah.

“Sebarang sistem cukai baharu akan membawa kos tambahan — daripada perubahan perisian dan latihan kakitangan kepada yuran perakaunan serta penyusunan semula proses invois dan tuntutan.

“Sebab itu kerajaan wajib membentangkan kajian impak dan kos pematuhan sebelum mengumumkan arah dasar baharu. Jangan umumkan slogan dahulu, kemudian baru fikir bagaimana sistem hendak dilaksanakan.

“Lebih penting, kos kepada perniagaan akhirnya tidak berhenti pada perniagaan. Apabila kos operasi meningkat, sebahagiannya akan dipindahkan kepada harga barang dan perkhidmatan.

“Yang akhirnya membayar ialah pengguna. Jika kerajaan mendakwa sistem hibrid ini lebih progresif dan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah, tunjukkan buktinya dengan angka.

“Berapa hasil tambahan kepada kerajaan? Berapa kos kepada PKS? Apa kesannya kepada inflasi dan harga barang? Siapa yang akan membayar lebih dan siapa yang akan membayar kurang?

“Ini sepatutnya dijawab sebelum sistem baharu diumumkan, bukannya selepas rakyat dan peniaga diminta menyesuaikan diri,” gesa beliau.

Tambah beliau lagi, kerajaan juga perlu menjelaskan mengapa SST yang selama ini dipertahankan sebagai lebih bersasar kini dianggap perlu mengambil elemen GST.

“Jika GST dahulu dikatakan terlalu membebankan rakyat, elemen manakah daripada GST yang kini mahu diperkenalkan?

“Rakyat tidak memerlukan satu lagi nama baharu untuk cukai.

“Mereka memerlukan kestabilan dasar, kepastian kadar, sistem yang mudah dipatuhi dan jaminan bahawa perubahan percukaian tidak akhirnya menaikkan kos sara hidup.

“Jika kerajaan benar-benar mahu memperkenalkan sistem hibrid SST-GST, maka: Terangkan sistemnya. Nyatakan kadarnya. Bentangkan kajian impaknya.

“Jika tidak, rakyat mempunyai sebab untuk melihatnya sebagai satu lagi “Cukai Madani” — nama mungkin baharu, tetapi bebannya tetap sampai kepada rakyat,” tempelak beliau.

Semalam Anwar berkata, kerajaan terbuka melaksanakan kajian terhadap keperluan menggabungkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bagaimanapun akan mengekalkan SST sebagai asas sistem percukaian ketika ini, namun tidak menolak kemungkinan menerima beberapa ciri GST yang dilihat sesuai bagi mewujudkan sistem percukaian lebih baik.

“Mengenai GST, SST kita terbuka untuk kaji, untuk perbaiki sistem percukaian tapi kalau nak bercakap pasal GST sahaja, saya punya kebimbangan, seperti yang saya lahirkan berulang kali, ini nak cukai rakyat.

“Maknanya orang yang tak pernah bayar cukai, mesti bayar. Mana kita nak jawab dalam keadaan sekarang? Dengan kos sara hidup, beban rakyat. Sebab itu kita guna pangkal SST, tetapi kalau ada beberapa penyesuaian, boleh kita lakukan,” katanya selepas menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan semalam.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat