KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, peruntukan pembangunan kawasan adalah untuk manfaat rakyat dan tidak semestinya perlu disalurkan melalui Ahli Parlimen.
Anwar berkata, kerajaan tidak perlu menyalurkan dana berkenaan kepada Ahli Parlimen sekiranya ia boleh diberikan terus kepada rakyat.
“Peruntukan tak semestinya bagi kepada Ahli Parlimen. Peruntukan diberi kepada rakyat. Sejak bila kita kena bagi Ahli Parlimen?
“Yang penting apa? Peruntukan untuk siapa? Untuk Ahli Parlimen atau untuk rakyat?Jadi soalnya, peruntukan itu harus pada rakyat.
“Kalau peruntukan ada RM2 juta, wang itu kepada rakyat, pada sekolah, sekolah agama, masjid, longkang baiki… itu semua kita akan lakukan,” katanya selepas selesai solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin di Alor Gajah Melaka lapor Sinar Harian.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, dua Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa tindakan menyekat akses sistem MyKhas yang menguruskan peruntukan kawasan menyebabkan hak rakyat di kawasan masing-masing terjejas.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa, baki peruntukan RM3 juta bagi kawasan itu tidak lagi disalurkan melalui ahli Parlimen yang dipilih rakyat selepas aksesnya ke portal MyKhas disekat sejak penghujung Mei lalu.
Situasi sama turut dihadapi Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mendakwa, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang tidak lagi boleh mengakses sistem MyKhas bermula 29 Julai lalu sekali gus menjejaskan pengurusan peruntukan kawasan.
Anwar berkata, dasar berkenaan bukan perkara baharu kerana ia turut terpakai ketika pihak yang kini mempertikaikannya pernah menjadi Ahli Parlimen sebelum ini.
“Dasar itu terpakai sejak dulu, semasa mereka Ahli Parlimen dulu mereka tahu. Sekarang, dia menentang.
“Jadi bila dia menentang, kita salurkan terus kepada rakyat,” katanya.


