26 pertuduhan pengubahan wang haram babitkan Nicky Liow ditarik balik sebab bayar kompaun RM10 juta – AGC

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan bahawa keputusan menarik balik 26 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) terhadap Nicky Liow dibuat selepas ahli perniagaan itu bersetuju membayar kompaun RM10 juta.

Menerusi kenyataan media, AGC berkata, jumlah tersebut telah dipersetujui oleh Nicky atau nama sebenarnya Liow Soon Hee, serta dibayar pada 29 Mei 2023, lapor Sinar Harian pada Jumaat.

Selain pembayaran tersebut, AGC berkata, penyelesaian juga merangkumi pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 dan pelucuthakan harta-harta yang disita.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap keterangan yang diperoleh sepanjang siasatan dan bukan dipengaruhi sebarang tekanan luar atau sentimen awam.

“Susulan pembayaran kompaun itu, selaras dengan Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), AGC menarik balik pertuduhan terhadap Nicky.

“Pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan supaya ahli perniagaan itu dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” menurut kenyataan itu.

AGC menegaskan bahawa Nicky tidak pernah dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang.

Jelasnya, ahli perniagaan itu sebelum ini didakwa atas 26 pertuduhan AMLA di bawah Seksyen 4 AMLATFPUAA 2001 di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022.

AGC berkata, kes berkenaan pada asalnya ditetapkan untuk perbicaraan bermula Julai hingga September 2023.

Bagaimanapun, sebelum perbicaraan berlangsung, Nicky menerusi firma guamannya, Tetuan Rajpal, Firah & Vishnu mengemukakan dua representasi bertarikh 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 bagi memohon supaya semua pertuduhan dikompaunkan di bawah Seksyen 92 akta itu.

Menurut AGC, selepas penelitian terperinci terhadap representasi itu serta semua keterangan sedia ada, pihak pendakwaan bersetuju menawarkan kompaun tersebut.

AGC turut menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.

“Ia dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan keterangan daripada hasil siasatan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam, dengan mengambil kira integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis minggu lalu, peguam, Datuk Rajpal Singh yang mewakili Nicky berkata, Nicky dilepas dan dibebaskan daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan lebih RM36 juta, selepas pendakwaan menarik balik kes berkenaan empat tahun lalu.

Mengikut semua pertuduhan, dia dan tiga syarikat itu didakwa secara langsung melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan dua pertuduhan memiliki wang hasil sama berjumlah lebih RM36 juta.

Perbuatan itu dilakukan di Malayan Banking Berhad, cawangan Bandar Puteri Puchong dan Ampang pada 2016 hingga 2021.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat