1,260 juruterbang Malaysia Airlines wajib jalani ujian saringan dadah

KUALA LUMPUR – Semua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines kini diwajibkan menjalani ujian saringan dadah selepas langkah penguatkuasaan baharu yang lebih ketat sebagai sebahagian usaha memperkukuh integriti dan keselamatan operasi penerbangan.

Malaysia Aviation Group (MAG) dalam kenyataan memaklumkan, proses saringan terhadap juruterbang di bawah syarikat penerbangannya sudah dimulakan dan dijangka selesai selewat-lewatnya 15 Ogos ini.

Katanya, mana-mana juruterbang yang gagal melengkapkan saringan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga mendapat pelepasan mengikut prosedur MAG dan keperluan kawal selia.

“MAG akan melaksanakan saringan dadah mandatori terhadap semua juruterbang aktif sebagai pelengkap kepada program ujian rawak sedia ada dan langkah itu kemudiannya akan diperluaskan kepada kru kabin aktif.

“Tindakan pantas ini mencerminkan tahap keseriusan MAG dalam memandang insiden baru-baru ini membabitkan penahanan juruterbangnya, selaras dengan pendirian kumpulan yang tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku,” katanya dalam kenyataan.

Pada 29 Julai lalu, seorang juruterbang Malaysia ditahan selepas disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah ke Indonesia termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.

Juruterbang berusia 39 tahun itu menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

MAG mengesahkan individu terbabit merupakan pegawai kedua yang berada di tempat duduk tambahan kokpit sebagai pemerhati dan bukan juruterbang yang mengendalikan pesawat berkenaan.

“Individu itu juga tidak bertugas selama dua hari sebelum kejadian. Pesawat berkenaan dikendalikan dengan selamat pada setiap masa oleh dua juruterbang bertauliah yang bertugas,” katanya menurut Utusan pada Jumaat.

MAG menyifatkan tindakan individu terbabit sebagai sama sekali tidak boleh diterima dan bertentangan dengan standard profesional yang ditetapkan terhadap kakitangannya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Nasaruddin A Bakar berkata, keselamatan operasi serta tahap kecergasan kru untuk bertugas merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi.

“Kami memandang serius sebarang pelanggaran terhadap standard keselamatan dan telah mengambil tindakan pantas untuk mempertingkatkan saringan dadah mandatori terhadap juruterbang aktif kami.

“Walaupun insiden terpencil ini tidak mencerminkan tahap profesionalisme sebahagian besar kakitangan kami, kami akan terus memperkukuh langkah perlindungan bagi mengekalkan keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan,” katanya.

Menurut MAG, setiap juruterbang yang bertugas perlu melengkapkan penilaian IMSAFER sebelum setiap penerbangan bagi menilai tahap kesediaan fizikal dan mental antara satu sama lain.

Jelasnya, penilaian itu turut dilengkapi prinsip Pengurusan Ancaman dan Kesilapan bagi mengenal pasti serta mengurus risiko operasi.

IMSAFER merupakan senarai semak penilaian kendiri yang digunakan juruterbang sebelum penerbangan bagi menilai tahap kecergasan untuk bertugas.

Ia merangkumi aspek penyakit, ubat-ubatan, tekanan, alkohol, keletihan, emosi dan tempoh terkini pengalaman penerbangan.

MAG turut memaklumkan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan, penguatkuasaan dan kawal selia bagi melaksanakan cadangan, mempertingkat langkah pencegahan serta memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia dalam operasinya dan ekosistem penerbangan secara keseluruhan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat