KUALA LUMPUR – Kenyataan media yang dikeluarkan Nurul Izzah Anwar pada Khamis menimbulkan persoalan mengenai kedudukan sebenar beliau sebagai Timbalan Presiden KEADILAN apabila kandungannya dilihat berbeza dengan keputusan yang diumumkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu pada hari sama.
Beberapa jam selepas MPP memaklumkan Nurul Izzah diberikan cuti sementara daripada jawatan Timbalan Presiden, beliau pula mengeluarkan kenyataan yang memberi gambaran bahawa dirinya telah melepaskan jawatan tersebut.
Dalam kenyataannya, Nurul Izzah berkata beliau menghargai kepimpinan parti kerana mengambil maklum terhadap keputusannya.
“Alhamdulillah, saya mengucapkan sepenuh penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Presiden beserta kepimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusan saya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden KEADILAN,” katanya.
Malah, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Timbalan Presiden dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya akan meneruskan amanah dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan.
Bagaimanapun, kenyataan itu berbeza dengan pengumuman rasmi MPP KEADILAN yang menyatakan permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri telah dibincangkan, namun parti memutuskan untuk memberikan cuti sementara kepada beliau bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil, MPP turut memutuskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hanya akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara, bukannya dilantik secara tetap bagi mengisi kekosongan jawatan itu.
MPP juga memutuskan jawatan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN akan digalas sepenuhnya oleh Datuk Seri Amirudin Shari.
Perbezaan istilah yang digunakan dalam kedua-dua kenyataan itu menimbulkan persoalan sama ada Nurul Izzah telah benar-benar melepaskan jawatan Timbalan Presiden atau sekadar bercuti sementara seperti diputuskan oleh MPP.
Setakat ini, KEADILAN belum mengeluarkan penjelasan lanjut bagi memperincikan kedudukan rasmi Nurul Izzah dalam struktur kepimpinan parti susulan dua kenyataan yang menggunakan naratif berbeza itu.
Dalam kenyataannya, Nurul Izzah turut menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas pertimbangan yang panjang bagi membolehkannya meneruskan pengajian lanjutan yang berteraskan khidmat dan bakti serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik.
Beliau turut menegaskan akan kekal sebagai anggota KEADILAN dan terus memberikan sokongan kepada perjuangan parti di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain dijadualkan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN pada 14 Ogos ini.


