TAWAU, 2 Ogos – Kerajaan Sabah meneruskan usaha memperkukuh infrastruktur maritim negeri menerusi pemodenan Pelabuhan Tawau dengan pelaburan berjumlah RM70 juta bagi pemerolehan dua kren dermaga (quay crane) baharu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelaburan menerusi Sabah Ports Sdn. Bhd. itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus meningkatkan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi keperluan perdagangan yang semakin berkembang.
Menurut beliau, apabila mula beroperasi kelak, kedua-dua kren tersebut dijangka meningkatkan kecekapan pengendalian kargo, mempercepatkan tempoh pusingan kapal, mengurangkan masa menunggu serta memperkukuh kapasiti Pelabuhan Tawau untuk menerima kapal yang lebih besar dan jumlah kargo yang semakin meningkat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan dua kren dermaga baharu di Pelabuhan Tawau pada Ahad.
Hajiji berkata penaiktarafan itu akan terus memperkukuh peranan Pelabuhan Tawau sebagai pintu masuk maritim utama di Pantai Timur Sabah, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan dengan pasaran domestik dan serantau serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Ports Sdn. Bhd., Suria Capital Holdings Berhad serta semua pihak yang terlibat menjayakan projek berkenaan, sambil berharap pelaburan strategik itu memberi manfaat berterusan kepada pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin serta pemimpin-pemimpin tempatan.


