Faizal Tekad Selesai Isu Banjir Linggi, Yakin RTB Siap 2027 Jika Diberi Mandat Sekali Lagi

LINGGI — Isu banjir yang sekian lama menghantui penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi kekal menjadi keutamaan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Faizal Ramli, sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Penyandang kerusi DUN Linggi itu berkata, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Linggi yang diluluskan kerajaan selepas banjir besar pada 2021 kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada awal 2027.

“Isu utama di Linggi ialah usaha menangani masalah banjir. Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Linggi kini sedang dilaksanakan selepas diluluskan kerajaan berikutan banjir besar yang berlaku pada tahun 2021.

“Saya yakin apabila projek ini siap pada awal 2027, masalah banjir yang telah lama membelenggu penduduk dapat diatasi dengan lebih berkesan.

“Selain itu, satu lagi projek RTB di Sungai Raya turut diluluskan dan dijangka siap pada tahun 2027. Insya-Allah apabila kedua-dua projek ini siap, penduduk Linggi akan menikmati kehidupan yang lebih selesa tanpa perlu lagi berdepan kebimbangan setiap kali musim hujan,” katanya kepada Suara TV.

Menurut Mohamad Faizal, pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan merupakan penyelesaian jangka panjang yang amat dinantikan penduduk kerana banjir sering memberi kesan kepada kehidupan harian serta aktiviti ekonomi masyarakat setempat.

Beliau berkata, selain menyelesaikan isu banjir, aspek kebajikan rakyat, pendidikan dan pembangunan modal insan turut menjadi agenda utama bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati generasi muda di Linggi.

“Selain isu banjir, masyarakat turut memberi perhatian kepada aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan. Yang penting ialah memastikan anak-anak Linggi mempunyai pendidikan dan kemahiran supaya mereka dapat mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan hasil daripada pembangunan tersebut.

“Saya tidak mahu melihat anak-anak Linggi hanya bekerja sebagai pekerja bawahan atau pekerja am. Sebaliknya, saya mahu mereka memiliki kemahiran dan pendidikan yang membolehkan mereka memegang jawatan yang lebih tinggi serta menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya.

Mengulas perkembangan kempen, Mohamad Faizal berkata beliau meneruskan jadual turun padang yang telah dirancang lebih awal walaupun tempoh berkempen kali ini agak singkat.

Katanya, sebagai penyandang, beliau tidak pernah berhenti mendekati rakyat sejak dipilih menjadi wakil rakyat pada tahun 2023 dan hubungan yang terjalin itu menjadi kekuatan utama sepanjang kempen.

“Walaupun tempoh kempen kali ini agak singkat, sebenarnya saya telah pun turun berkempen sebelum hari penamaan calon. Sebagai penyandang, saya sentiasa menjalankan tanggungjawab sejak hari pertama dipilih sebagai wakil rakyat pada tahun 2023 kerana bagi saya, tugas berkhidmat kepada rakyat bukan hanya ketika musim pilihan raya.

“Sepanjang turun padang dan berkempen dari rumah ke rumah, saya menerima banyak maklum balas yang positif. Ramai yang menyatakan penghargaan atas bantuan yang pernah saya salurkan, malah ada juga yang saya sendiri sudah terlupa pernah dibantu. Saya melihat sokongan itu masih berterusan dan insya-Allah akan diterjemahkan pada hari pengundian nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kerjasama jentera Barisan Nasional sepanjang kempen berada pada tahap terbaik apabila semua pihak saling membantu bagi memastikan kemenangan parti.

Beliau berkata, semangat berpasukan yang ditunjukkan bukan sahaja memperkukuhkan gerak kerja di DUN Linggi, malah turut membantu kempen di kawasan berdekatan termasuk DUN Pengkalan Pinang.

“Setakat hari ini, kerjasama jentera Barisan Nasional sangat baik. Kami saling membantu antara satu sama lain termasuk di DUN Pengkalan Pinang. Semangat berpasukan ini memberi keyakinan bahawa kita mampu mempertahankan kerusi Barisan Nasional di DUN Linggi.

“Saya percaya kekuatan jentera serta sokongan rakyat akan menjadi faktor penting dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Mengakhiri temu bual, Mohamad Faizal menyeru seluruh pengundi termasuk anak-anak perantau supaya pulang mengundi dan membuat pilihan yang terbaik demi masa depan DUN Linggi.

Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat akan membolehkan beliau meneruskan usaha menyelesaikan isu-isu utama termasuk banjir, kebajikan dan pembangunan demi kesejahteraan penduduk.

“Kepada seluruh pengundi di DUN Linggi, termasuk pengundi luar yang akan pulang mengundi, saya menyeru supaya membuat pilihan dengan bijak. Pilihlah calon yang benar-benar layak, yang sentiasa bersama rakyat dan mampu menjaga kebajikan mereka dalam apa jua keadaan.

“Saya dengan rendah hati memohon sokongan daripada seluruh pengundi di DUN Linggi agar memilih saya, calon nombor dua, mewakili Barisan Nasional.

“Insya-Allah saya akan terus berkhidmat dan melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat