Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Seramai 835,146 pesara dan penerima pencen terbitan kini menikmati penyampaian perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan bernilai melalui dua inisiatif baharu yang melibatkan penggunaan Touch ‘n Go e-Wallet sebagai saluran alternatif pembayaran pencen.
Selain itu, MyPesara Plus, platform yang memperluaskan manfaat kepada pesara melalui kerjasama strategik dengan pelbagai rakan industri.
Kedua-dua inisiatif, telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz, sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Auditorium JPA, dekat sini baru-baru ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, pesara merupakan pemegang taruh utama JPA yang telah banyak berjasa kepada negara dan menjadi tanggungjawab JPA untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka terus dipelihara walaupun selepas menamatkan perkhidmatan.
Menurut beliau, sehingga Mei 2026, seramai 835,146 pesara dan penerima pencen terbitan direkodkan di negara ini.
“Mereka merupakan individu yang telah mencurahkan khidmat bakti kepada negara dan menjadi tanggungjawab JPA untuk memastikan kebajikan mereka terus dipelihara.
“JPA bukan sekadar menguruskan urusan persaraan dan pembayaran pencen, malah komited memastikan pesara terus menikmati kehidupan selepas persaraan dengan lebih sejahtera melalui perkhidmatan yang lebih mudah diakses, selamat dan memberi nilai tambah.
“Justeru, kami akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan melalui inovasi, pendigitalan dan kerjasama strategik agar manfaat yang disediakan sientiasa relevan dengan keperluan semasa pesara, ”katanya.
Katanya lagi sebagai inisiatif pertama seumpamanya dalam sektor kerajaan, JPA memperkenalkan penggunaan Touch ‘n Go e-Wallet sebagai saluran alternatif pembayaran pencen bagi membantu pesara yang berdepan kekangan menerima pencen akibat akaun bank dibekukan atau disekat, termasuk kerana menjadi mangsa penipuan kewangan.
Inisiatif yang direalisasikan melalui kerjasama strategik antara JPA, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dan Touch ‘n Go e-Wallet ini memastikan pesara terus menerima bayaran pencen tanpa gangguan melalui saluran yang lebih fleksibel, cepat dan selamat.
Sehingga Mei 2026, seramai 122 pesara telah menerima pembayaran pencen melalui kaedah ini melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM254,841.21 sebulan.
Selain menawarkan fleksibiliti transaksi tanpa tunai, inisiatif ini turut mengurangkan risiko pesara menjadi mangsa penipuan kewangan serta membantu menangani isu akaun bank yang dihadapi mereka, sekali gus meningkatkan keselamatan dan kelancaran urusan pembayaran pencen.
Pada majlis yang sama, JPA turut melancarkan MyPesara Plus, iaitu pemerkasaan Program Manfaat Pesara yang mencerminkan komitmen berterusan JPA dan KWAP dalam memperluaskan manfaat kepada pesara.
Melalui MyPesara Plus, kad pesara kini bukan lagi sekadar dokumen pengenalan bagi mendapatkan rawatan dan perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan, malah menjadi medium yang menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada pesara melalui kerjasama strategik bersama sektor swasta.
Pesara boleh menikmati pelbagai tawaran dan diskaun istimewa daripada rakan strategik dalam sektor kesihatan, farmasi, pengangkutan, Peruncitan, penginapan serta pelbagai perkhidmatan lain sama ada menggunakan kad pesara fizikal atau aplikasi MyPesara.
Inisiatif ini memudahkan pesara mengakses pelbagai manfaat yang ditawarkan, membantu mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan mereka selepas persaraan.
Sempena pelancaran MyPesara Plus, Wan Ahmad Dahlan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada tujuh rakan strategik terawal yang menjayakan inisiatif tersebut melalui penawaran pelbagai manfaat kepada pesara, iaitu Nasken International (M) Sdn. Bhd.; Zuspresso (M) Sdn. Bhd.; Sogno Coffee Sdn. Bhd.; Etiqa Family Takaful Berhad; Poliklinik Ar Razi Perubatan & X-Ray; Group Primer AZK; dan GCH Retail (M) Sdn. Bhd.
Dalam perkembangan sama, Wan Ahmad Dahlan berkata, kedua-dua inisiatif ini mencerminkan komitmen JPA untuk terus memperkukuh ekosistem kebajikan pesara melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif, inklusif dan berteraskan teknologi.
Ujarnya, menghargai jasa pegawai awam tidak berakhir pada hari mereka bersara, sebaliknya ia diteruskan melalui usaha berterusan Kerajaan untuk memastikan mereka terus menikmati perkhidmatan yang berkualiti serta manfaat yang relevan dengan keperluan kehidupan selepas persaraan.
“JPA akan terus memperluaskan kerjasama strategi kbersama kementerian, agensi dan rakan industri supaya lebih banyak manfaat dapat dinikmati oleh pesara pada masa hadapan.
“Pelancaran kedua-dua inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan JPA dalam memperkasa pengalaman persaraan melalui pendekatan yang lebih inovatif, inklusif dan berteraskan keperluan pesara, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, selaras dengan aspirasi Reformasi Perkhidmatan Awam MADANI, JPA akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memperluaskan kerjasama strategik bagi
memastikan pesara kerajaan menikmati kehidupan persaraan yang lebih sejahtera, bermaruah dan berkualiti.-SUARA.TV


