SEREMBAN — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyifatkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sebagai dokumen yang memberi fokus kepada usaha menyambung semula projek serta dasar pembangunan negeri yang menurutnya tergendala selepas BN kehilangan pentadbiran pada 2018.
Beliau berkata manifesto tersebut bukanlah manifesto yang direka khusus untuk pilihan raya semata-mata, sebaliknya berpaksikan pelan pembangunan dan dasar yang telah dirancang ketika BN mentadbir Negeri Sembilan, termasuk projek-projek strategik yang belum dapat diteruskan.
“Manifesto ini bukan manifesto yang kita reka cipta baharu. Ia merupakan manifesto untuk menyambung kerja-kerja yang telah kita lakukan dan dasar-dasar yang telah kita rancang dahulu.
“Kita sudah mempunyai pelan pembangunan yang jelas untuk Negeri Sembilan melalui Dasar Pembangunan Negeri Sembilan 2015 hingga 2045, selain perancangan ekonomi yang dipacu Malaysia Vision Valley.
“Jadi, apa yang kita bentangkan hari ini ialah komitmen untuk meneruskan agenda yang telah dirancang, bukannya membuat janji baharu semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Negeri Sembilan di sini, malam tadi.
Mohamad berkata antara agenda utama yang mahu diteruskan ialah pelaksanaan Malaysia Vision Valley (MVV), pembinaan Second Outer Ring Road Negeri Sembilan, sistem kereta api komuter, selain beberapa projek infrastruktur bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri itu.
Menurut beliau, laluan jalan baharu yang telah mendapat kelulusan dasar sebelum ini bermula dari KLIA, melalui Enstekdan Sendayan, merentasi Jalan Seremban–Port Dickson sehingga ke Tol Senawang, sebelum diteruskan melalui jalan bertingkat ke kawasan Hospital SALAM.
Selain itu, katanya, satu lagi laluan baharu dari Seremban ke sempadan Pahang melalui Temiang, Tanjung Ipoh, Kampung Kepis, Petengkek hingga ke Bandar Serting turut mendapat kelulusan secara dasar melalui inisiatif swasta.
“Semua ini telah dirancang dan mendapat kelulusan secara dasar, tetapi malangnya ia tergendala selepas kita kalah pada tahun 2018. Sebab itu manifesto ini bukan sekadar dokumen pilihan raya, sebaliknya pelan untuk menyambung semula projek-projek yang telah terhenti.
“Kita tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak pernah dirancang, tetapi mahu memastikan pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini dapat diteruskan demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” jelasnya.
Mengulas mengenai pembangunan masyarakat Orang Asli, Mohamad berkata BN komited meneruskan usaha mewartakan kawasan penempatan tradisi bagi melindungi hak komuniti berkenaan daripada konflik penggunaan tanah.
Beliau berkata pendekatan tersebut pernah dilaksanakan ketika pentadbiran BN, termasuk membangunkan ladang getah melalui RISDA dengan setiap keluarga diberikan pegangan saham bagi menjana pendapatan.
“Kita tidak mahu kawasan kampung asal Orang Asli terjejas akibat aktiviti lain seperti pembalakan. Sebab itu kawasan mereka perlu dirizab dan diwartakan terlebih dahulu supaya hak mereka dilindungi.
“Kita juga telah melaksanakan pembangunan ladang getah melalui RISDA dengan memberikan sijil saham kepada setiap keluarga bagi memastikan mereka mempunyai sumber pendapatan yang berterusan. Ini bukan cakap kosong kerana kita telah melaksanakannya sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, menjawab pertanyaan media mengenai penyediaan manifesto berkenaan, Mohamad menjelaskan ia digubal hasil perbincangan bersama kepimpinan negeri termasuk Datuk Seri Jalaluddin Alias, Datuk Hashim Rusdi dan beberapa pemimpin lain.
Menurut beliau, BN memilih untuk meneruskan dasar pembangunan sedia ada kerana ia disifatkan masih relevan dan pernah mendapat sokongan rakyat.
“Saya berbincang dengan rakan-rakan supaya kita tidak perlu menggubal manifesto yang baharu kerana kita sebenarnya sudah mempunyai satu dasar pembangunan yang baik dan telah diterima rakyat.
“Apa yang berlaku pada 2018 ialah rakyat ketika itu sukar membezakan isu negeri dan isu Parlimen. Namun hari ini kita melihat rakyat semakin memahami dan kita berharap mereka akan memberikan semula mandat kepada Barisan Nasional untuk meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut menyasarkan pembangunan sektor pertanian melalui penubuhan Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di setiap daerah bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar negeri.
Mohamad berkata usaha itu termasuk mengaktifkan semula tanah-tanah terbiar untuk pertanian, selain memanfaatkan potensi setiap daerah berdasarkan hasil pertanian yang sesuai.
“Kita mahu menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri pengeluar, bukannya sekadar negeri yang membeli.
“Sebab itu kita merancang mewujudkan TKPM di setiap daerah supaya pengeluaran makanan dapat dipertingkatkan. Kita mahu mengusahakan semula tanah-tanah terbiar dan memastikan bekalan makanan negeri lebih terjamin kerana kita tidak boleh terus bergantung kepada bekalan dari luar,” katanya.



