Tok Mat lancar manifesto BN Negeri Sembilan

SEREMBAN – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Utama Mohamad Hasan melancarkan manifesto BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan membawa mesej bahawa pilihan raya kali ini bukan sekadar menentukan parti yang menang, sebaliknya peluang untuk menyambung semula agenda pembangunan negeri yang menurut beliau terhenti selepas BN kehilangan pentadbiran Negeri Sembilan pada 2018.

Berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto BN Negeri Sembilan 2026 di Sendayan pada Jumaat, Mohamad berkata manifesto bertemakan “Kestabilan Dibina. Negeri Dijaga. Rakyat Dibela. Kemakmuran Dicipta” merupakan pelan tindakan yang dibina berasaskan pengalaman mentadbir, rekod pencapaian serta keperluan sebenar rakyat, bukannya sekadar himpunan janji pilihan raya.

Menurut beliau, BN berhimpun bukan sekadar melancarkan manifesto tetapi memperbaharui amanah untuk menjaga Negeri Sembilan, membela rakyat, membuka lebih banyak peluang serta menggerakkan semula pembangunan negeri.

“Inilah ikrar Barisan Nasional. Bukan sekadar slogan, tetapi pelan tindakan untuk menghebatkan semula Negeri Sembilan,” katanya.

Mohamad berkata pilihan raya bukan pertandingan siapa paling lantang berpidato atau paling banyak menabur janji, sebaliknya mengenai siapa yang benar-benar diyakini rakyat untuk mentadbir negeri.

Katanya, rakyat hari ini mahukan pemimpin yang memahami masalah mereka, mempunyai pengalaman dan mampu menyelesaikan isu yang dihadapi.

“Orang Nogoghi bukan cari orang pandai bercakap sajo. Orang Nogoghi cari orang yang pandai buek kojo.

“Rakyat mahu pekerjaan. Rakyat mahu rumah. Rakyat mahu jalan yang baik. Rakyat mahu bantuan ketika susah. Rakyat mahu kerajaan yang mudah ditemui,” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju manifesto, Mohamad berkata ia tidak bermula daripada kosong, sebaliknya dibina di atas asas pembangunan yang diwujudkan ketika BN mentadbir Negeri Sembilan.

Beliau berkata jaringan jalan raya, sekolah, hospital, kawasan perindustrian, pembangunan FELDA dan FELCRA, bandar-bandar baharu serta pelbagai kemudahan asas merupakan sebahagian daripada legasi pentadbiran BN.

Bagaimanapun, menurutnya selepas BN tewas pada 2018, banyak dasar, program dan rancangan pembangunan yang dirancang sebelum itu tidak diteruskan.

“Kita menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka. Tetapi selepas itu banyak dasar, program dan rancangan pembangunan BN terhenti.

“Momentum pembangunan yang dibina sekian lama tidak diteruskan dengan rentak yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata BN mahu menghidupkan semula Negeri Sembilan sebagai negeri pelaburan, mengangkat kembali gagasan Negeri Sembilan sebagai Lembah Ilmu, menyambung pembangunan FELDA, membela petani, nelayan dan penternak, mempercepat pembinaan rumah rakyat serta memperbaiki penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Kita bukan datang nak meroboh. Kita datang nak membaiki.

“Kita bukan datang nak bereksperimen. Kita datang dengan pengalaman untuk bekerja,” katanya.

Mohamad berkata manifesto BN mengandungi 88 usaha yang disusun di bawah sembilan teras utama, disokong 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto bagi memastikan setiap janji dapat dipantau dan diukur pencapaiannya.

Menurut beliau, rakyat hari ini bukan sekadar mahu mendengar janji, sebaliknya mahu mengetahui bagaimana sesuatu dasar akan dilaksanakan dan bagaimana kerajaan boleh dipertanggungjawabkan.

Dalam aspek ekonomi, beliau mengumumkan sasaran menarik RM30 bilion pelaburan dalam tempoh lima tahun, mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan, termasuk 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi, selain melatih 20,000 peserta TVET bagi memenuhi keperluan industri.

BN juga akan memperkenalkan pendekatan Satu Daerah Satu Syarikat Utama serta memperkasa semula Malaysia Vision Valley (MVV) bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Matlamatnya mudah. Anak Nogoghi boleh kerja di Nogoghi,” katanya.

Dalam bidang kebajikan, Mohamad berkata BN beriltizam mengekalkan Negeri Sembilan sebagai negeri sifar miskin tegar, namun mengakui angka sifar dalam laporan tidak semestinya mencerminkan realiti sebenar di lapangan.

Justeru, beliau berkata jaringan keselamatan sosial akan diperkukuhkan termasuk mencahayakan 69 kampung Orang Asli, menaik taraf 59 Kampung Baru, memasang CCTV di kawasan berisiko, memperkasakan perkhidmatan kecemasan dengan sasaran satu DUN satu ambulans, selain memperluaskan bantuan kepada golongan OKU, anak autisme, pesakit terlantar dan pekerja gig.

“Kok rakyat susah, kerajaan mesti hadir. Jangan tunggu rakyat datang berkali-kali.

“Kerajaan yang baik pergi mencari rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata manifesto itu turut memberi penekanan kepada pendidikan menerusi sasaran mengangkat semula Negeri Sembilan sebagai Negeri Lembah Ilmu, termasuk menawarkan 100 Biasiswa Khas setiap tahun, bantuan kepada pelajar B40, latihan kecerdasan buatan (AI), digital dan keusahawanan kepada belia serta wanita, selain mewujudkan Pusat Aspirasi Anak Muda.

Peniaga kecil dan penjaja pula akan menerima latihan, geran permulaan serta lesen penjaja percuma selama lima tahun.

Selain itu, BN turut memberi fokus kepada sektor pertanian dan luar bandar menerusi pengukuhan subsidi, latihan produktiviti, pembangunan kolam rakyat, penubuhan Satu DUN Satu Koperasi Pertanian serta Tabung Warisan Nelayan, di samping meneruskan agenda pembangunan FELDA.

Dalam sektor perumahan, BN menyasarkan pembinaan 25,000 unit rumah, penyediaan 1,000 lot tapak perumahan kampung, baik pulih rumah daif keluarga B40 serta memberi jaminan tiada kenaikan cukai pintu dalam tempoh lima tahun.

Manifesto itu turut menggariskan komitmen mengekalkan 155,000 hektar hutan simpan, menarik 22 juta pelancong setahun, mewujudkan 5,000 pekerjaan baharu dalam sektor pelancongan, memperkasa syiar Islam, memelihara Adat Perpatih, meningkatkan kebajikan masyarakat Orang Asli, membangunkan kemudahan sukan, mempercepat pendigitalan perkhidmatan kerajaan serta memastikan setiap komitmen dipantau melalui Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto.

Mengakhiri ucapannya, Mohamad berkata manifesto tersebut merupakan jambatan yang menghubungkan legasi pembangunan BN dengan masa depan yang ingin dibina bersama rakyat Negeri Sembilan.

“Manifesto ini ialah jambatan. Jambatan antara legasi yang pernah kita bina dengan masa depan yang mahu kita capai.

“Samo-samo kito bangunkan semula Nogoghi. Samo-samo kito bela rakyat. Samo-samo kito sambung pembangunan yang terhenti.

“Kita bina kestabilan. Kita jaga negeri. Kita bela rakyat. Kita cipta kemakmuran,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat