Dalam industri F&B yang berkembang pesat, kejayaan sesebuah jenama bukan lagi hanya bergantung kepada keenakan produk atau strategi pemasaran yang kreatif. Apa yang lebih penting ialah bagaimana sesebuah syarikat mampu membina rangkaian perniagaan yang mampan, mengekalkan standard kualiti di setiap cawangan serta mewujudkan peluang ekonomi kepada masyarakat. Atas keyakinan itu, MOMOYO Malaysia kini memberi tumpuan kepada usaha melahirkan lebih ramai usahawan tempatan menerusi model francais, seiring sasaran syarikat untuk membuka 500 cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2027.
Di sebalik pertumbuhan pesat yang dicatatkan, MOMOYO melihat setiap pembukaan outlet sebagai lebih daripada sekadar penambahan angka. Sebaliknya, setiap cawangan baru membawa bersama peluang kepada individu yang ingin memiliki perniagaan sendiri tetapi mungkin tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan sebuah premis makanan dan minuman. Pendekatan itu menjadi antara kekuatan utama jenama berkenaan yang percaya kejayaan sesebuah perniagaan perlu dikongsi bersama mereka yang membina jenama di peringkat akar umbi.
Operation Manager MOMOYO Malaysia, Mohd Hafizi Mohd Uzil berkata, ketika ini syarikat mempunyai kira-kira 250 cawangan di seluruh Malaysia, manakala rangkaiannya di Asia Tenggara telah melepasi 2,000 cawangan. Dengan momentum pertumbuhan yang positif, Malaysia terus dikenal pasti sebagai antara pasaran paling penting dalam pelan pengembangan syarikat di rantau ini.

Menurut beliau, sasaran membuka 500 cawangan bukan hanya didorong oleh permintaan pengguna yang semakin meningkat, malah hasil keyakinan bahawa semakin ramai usahawan tempatan bersedia menceburi industri makanan dan minuman sekiranya diberikan bimbingan yang betul.
“Kami bukan mencari individu yang sudah mahir berniaga semata-mata. Kami juga membuka peluang kepada mereka yang tidak mempunyai pengalaman. Apa yang penting ialah mereka mempunyai minat dan kesungguhan untuk berjaya. Tugas kami adalah membantu mereka daripada awal sehingga perniagaan itu dapat berdiri dengan kukuh,” katanya.
Beliau berkata, antara cabaran terbesar yang sering dihadapi bakal usahawan ialah rasa bimbang untuk memulakan perniagaan kerana tidak mengetahui selok-belok operasi sesebuah outlet. Menyedari perkara itu, MOMOYO membangunkan sistem sokongan yang menyeluruh bagi memastikan setiap rakan francais menerima bimbingan secara berterusan.

Sokongan tersebut merangkumi pemilihan lokasi yang sesuai, reka bentuk outlet, latihan pekerja, pengurusan inventori, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta bantuan dalam menguruskan operasi harian. Melalui sistem itu, rakan francais tidak perlu bermula daripada kosong kerana mereka dibimbing menggunakan pengalaman yang telah dibangunkan MOMOYO di seluruh Asia Tenggara.
Malah, syarikat turut menyasarkan setiap rakan francais mampu memperoleh pulangan modal dalam tempoh kira-kira satu tahun. Menurut Mohd Hafizi, sasaran itu realistik sekiranya operasi dijalankan mengikut sistem yang ditetapkan serta disokong oleh pemilihan lokasi yang strategik dan penerimaan baik daripada pengguna.
Dalam memastikan setiap outlet mengekalkan standard yang sama, MOMOYO memberi penekanan tinggi terhadap aspek latihan dan kawalan kualiti. Walaupun setiap cawangan dikendalikan oleh rakan francais yang berbeza, pelanggan perlu menikmati pengalaman yang seragam tidak kira di mana mereka membeli minuman tersebut.
“Semua pekerja baru diwajibkan menjalani latihan terlebih dahulu sebelum ditempatkan di outlet masing-masing. Kami mahu memastikan mereka memahami setiap prosedur, daripada penyediaan minuman sehinggalah cara melayani pelanggan. Dengan cara itu, kami dapat memastikan rasa dan kualiti produk sentiasa konsisten di semua cawangan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa konsistensi merupakan aset paling bernilai bagi sesebuah jenama francais. Sekiranya pelanggan menikmati pengalaman yang sama setiap kali mengunjungi mana-mana outlet, keyakinan terhadap jenama akan terus meningkat dan seterusnya membantu pertumbuhan perniagaan dalam jangka panjang.
Selain memberi perhatian kepada aspek operasi, MOMOYO turut meletakkan fokus terhadap pembangunan produk yang sesuai dengan kehendak pengguna Malaysia. Walaupun sebahagian besar menu asal diperkenalkan di Indonesia, syarikat tidak membawa masuk produk tersebut secara terus tanpa sebarang perubahan. Sebaliknya, setiap resipi akan melalui proses penyesuaian supaya lebih menepati selera masyarakat tempatan.
Pendekatan itu membolehkan MOMOYO terus relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif. Produk yang mendapat sambutan di negara asal tidak semestinya diterima dengan baik di Malaysia, justeru syarikat sentiasa meneliti maklum balas pengguna sebelum memperkenalkan sesuatu menu secara meluas.

Antara produk yang kini menjadi pilihan pelanggan ialah siri Fruity dan Fruity Ice Cream. Minuman Jambu Fruity, misalnya, terus mencatatkan permintaan tinggi kerana menawarkan gabungan pelbagai buah-buahan segar dalam saiz yang besar pada harga RM9.90. Selain itu, siri ais krim dengan pilihan perisa seperti vanila, coklat dan matcha turut menjadi kegemaran terutama dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga.
Dalam usaha memenuhi trend semasa, MOMOYO juga terus memperkenalkan produk baru mengikut perubahan cita rasa pengguna. Antara yang terbaharu ialah Jasmine Series yang membawa slogan “Rasa Teh Premium, Harga Kampung”, mencerminkan komitmen syarikat untuk menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga yang mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Walaupun pasaran dipenuhi pelbagai jenama minuman tempatan dan antarabangsa, MOMOYO mempunyai pendekatan tersendiri dalam membezakan produknya. Penggunaan bahan mentah yang berkualiti dan segar menjadi keutamaan syarikat kerana percaya kualiti sesuatu minuman bermula daripada bahan asas yang digunakan.
“Kami menggunakan buah-buahan segar dan sentiasa memastikan setiap produk dihasilkan mengikut standard yang telah ditetapkan. Pada masa sama, kami mahu pelanggan menikmati produk premium tanpa perlu membayar harga yang terlalu tinggi,” katanya.
Selain memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan, MOMOYO turut komited untuk memastikan lebih banyak cawangannya memperoleh pensijilan halal Walaupun jenama itu masih baru di Malaysia, syarikat telah membangunkan sistem pengurusan halal sejak beberapa tahun lalu dan kini sedang mempercepatkan proses pensijilan di seluruh rangkaiannya.
Setakat ini, lima cawangan telah berjaya memperoleh pensijilan halal melibatkan outlet di Johor, Perak, Kedah dan Pahang, manakala setiap outlet baru akan memulakan proses permohonan selepas beroperasi selama tiga bulan.
Dalam aspek pengembangan lokasi, MOMOYO tidak hanya memberi tumpuan kepada pusat bandar atau pusat beli-belah. Sebaliknya, syarikat melihat potensi sesuatu kawasan berdasarkan corak kehidupan komuniti setempat. Ini termasuk kawasan berhampiran universiti, sekolah serta kawasan kediaman yang mempunyai aliran pelanggan yang stabil sepanjang hari.
Hari ini, rangkaian MOMOYO telah berkembang ke hampir semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak, dengan Johor muncul sebagai negeri yang mempunyai bilangan cawangan paling banyak.
kejayaan sesebuah jenama bukan diukur semata-mata melalui jumlah outlet yang berjaya dibuka. Nilai sebenar sesebuah jenama ialah apabila setiap cawangan mampu berkembang bersama pemiliknya, setiap pelanggan terus kembali kerana yakin terhadap kualitinya dan setiap usahawan yang menyertai rangkaian itu memperoleh peluang untuk mengubah kehidupan mereka. Atas asas itulah MOMOYO melihat sasaran 500 cawangan bukan sekadar destinasi yang ingin dicapai, tetapi simbol kepada perjalanan sebuah jenama yang mahu berkembang seiring dengan kejayaan usahawan tempatan dan kepercayaan pengguna Malaysia.



