KUALA LUMPUR – Pihak berkaitan digesa untuk memperbanyakkan lagi program pendedahan teknologi robotik untuk mengajak orang ramai terutamanya golongan muda menceburi bidang itu kerana ia boleh menyediakan masa depan kerjaya yang memberi pendapatan yang baik.
Pensyarah Kanan, Jabatan Kecerdasan Buatan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM) Dr Zati Hakim Azizul Hasan berkata ada kumpulan yang ramai yang meminati teknologi robotik tetapi tiada pendedahan yang cukup.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi ada beberapa dasar melibatkan pengajian tinggi dan satu daripada dasarnya ialah Bakat Robotik Kecerdasan Buatan (AI).
“Memandangkan pelajar di UM sudah pun ada banyak pendedahan berkaitan robotik saya mengambil inisiatif membawa teknologi robotik ke kawasan atau kumpulan penduduk yang kurang pendedahan untuk menarik minat mereka.
“Disebabkan dasar negara, saya bawa ilmu robotik ini kepada masyarakat dengan membawanya ke kawasan PPR melalui program KtoK (Kita to Kita), kita (UM) pergi ke kawasan PPR dan bertemu dengan remaja yang sedikit ketinggalan dalam pelajaran dan mereka ada minat,” katanya.
Katanya, pada mulanya beliau menawarkan supaya ada remaja untuk cuba menyentuh robot tetapi pada mulanya mereka takut, selepas mereka sendiri nampak bagaimana robot berfungsi dan responnya baru mereka betul-betul menunjukkan minat ke arah itu.
“Ini apa yang kita nampak ketika menganjurkan apa-apa acara, paling penting program kerakyat kena ada,” menurutnya.
Dr Zati berkata demikian kepada media selepas selesai sesi dialog ke-6 bertajuk ‘Regulating the Robotics Revolution, a cross-sector imperative pada International Regulatory Conference (IRC) 2026 di ibu negara hari ini.
Beliau berkata industri teknologi robotik mempunyai potensi dan masa depan yang begitu luas untuk seseorang individu mempunyai kerjaya yang baik.
Ketika ditanya apakah langkah yang perlu diikuti semasa bersekolah dan selepas sekolah jika mahu mendalami industri robotik selepas persekolahan, beliau berkata ada beberapa subjek yang perlu diberi fokus lebih mendalam.
“Di sekolah, ada subjek Asas Sains Komputer yang penting kerana subjek itu akan membuatkan pelajar dapat melihat perkara logik berlaku seperti pergerakan robot dan kebanyakannya ialah perkara asas.
“Jika mahu meneruskan fokus dalam robotik, seseorang itu perlu mendalami ilmu AI dengan lebih terperinci, untuk tingakan 1, 2 dan 3, ada subjek Asas Sains Komputer dan tingkatan 4 dan 5 ada Sains Komputer, itu subjek yang perlu diberi perhatian,” ujarnya.
Tambahnya, subjek Matematik ialah subjek paling penting untuk memahami algoritma dalam robotik serta proses kiraan melibatkan sistem komputer.
Program IRC2026 bermula semalam dan akan berakhir hari ini.



