Isu Tanah Orang Asli Kampung Cot: Kerajaan Pahang Tegas Dakwaan Tular Tidak Tepat

KUANTAN — Kerajaan Negeri Pahang menegaskan dakwaan berhubung isu pertikaian tanah melibatkan masyarakat Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Daerah Maran yang tular di media sosial tidak menggambarkan keseluruhan fakta serta latar belakang sebenar kes berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memelihara kebajikan serta kepentingan masyarakat Orang Asli melalui kerjasama bersepadu antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).

“Kenyataan yang tular tidak menggambarkan keseluruhan fakta dan latar belakang sebenar kes ini.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memelihara kebajikan, hak serta kepentingan masyarakat Orang Asli melalui kerjasama bersepadu antara JAKOA, PTG Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah serta ORACO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setiap isu atau pertikaian yang timbul akan ditangani secara berhemah, berlandaskan undang-undang serta melalui pendekatan libat urus bagi mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan semua pihak.

Komitmen itu, katanya, dibuktikan menerusi keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 1 November 2017 yang bersetuju mewartakan 76 kampung Orang Asli di bawah Seksyen 7(1) dan 141 kampung Orang Asli di bawah Seksyen 6(1) Akta Orang Asli 1954.

“Sehingga kini, Negeri Pahang mempunyai 264 kampung Orang Asli dengan lebih 90,000 penduduk berdaftar.

“Sebanyak 30 kampung telah selesai diwartakan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954 serta Seksyen 62 Kanun Tanah Negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meluluskan pemberian hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli melibatkan 16 kampung di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara.

Selain itu, hasil Bengkel Penyelarasan Pewartaan Tanah Rizab Orang Asli Negeri Pahang pada 8 hingga 10 Julai lalu menunjukkan usaha pewartaan tanah Orang Asli terus diperkasakan.

“Sebanyak 75 permohonan pewartaan sedang diproses, dengan 31 permohonan telah lengkap untuk pertimbangan MMK.

“Manakala 44 permohonan yang melibatkan pertindihan tanah sedang melalui proses penyelesaian dan 143 permohonan lagi berada pada peringkat awal pengukuran oleh JAKOA,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan negeri terus memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli melalui ORACO termasuk pembangunan tanah bagi mewujudkan sumber pendapatan mampan.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek pemilikan tanah, malah turut memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli melalui ORACO.

“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini juga, ORACO telah membina sebanyak 300 unit Rumah Rakyat Pahang Orang Asli secara percuma,” katanya.

Mengulas isu Kampung Cot, beliau berkata penempatan tersebut merupakan sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan JAKOA.

Berdasarkan rekod JAKOA, terdapat 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan, namun hasil perbincangan mendapati hanya enam penama masih meneruskan tuntutan.

“Penempatan tersebut merupakan sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan JAKOA.

“Hasil perbincangan awal mendapati hanya enam orang penama masih meneruskan tuntutan melalui JAKOA,” katanya.

Beliau berkata, enam penama itu mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat mereka, namun dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa berdasarkan rekod dan fakta sedia ada.

“Dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan berdasarkan rekod dan fakta yang ada.

“Rekod juga menunjukkan mereka telah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 30 ekar tanpa kebenaran yang sah,” katanya.

Beliau berkata, enam penama terbabit berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran, Kampung Orang Asli Paya Bungor, Kuantan dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, bukannya dari Kampung Cot.

Walaupun demikian, kerajaan negeri tetap mengambil pendekatan yang adil dengan meminta PTG, JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran meneliti kemungkinan bantuan yang bersesuaian daripada pihak syarikat kepada penama yang terlibat.

“Kerajaan Negeri tetap mengambil pendekatan yang adil dan bertanggungjawab dengan meminta PTG, JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran meneliti kemungkinan bantuan yang bersesuaian.

“Kerajaan Negeri berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat