Tengku Zafrul tegaskan tidak pernah peroleh sebarang keuntungan peribadi dari Jana Wibawa

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi menegaskan beliau tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi berkaitan Program Jana Wibawa.

Tengku Zafrul yang memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan berkata, sebaliknya secara tidak langsung Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kepentingan kepada program berkenaan.

Ini kerana, katanya, Muhyiddin yang memberi saranan kepada Kementerian Kewangan untuk mengkaji program pembangunan Bumiputera itu.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin , saya tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi dalam bentuk kewangan berkaitan Program Jana Wibawa.

“Saya mengesahkan saya tidak mendapat apa-apa sebarang keuntungan peribadi dan ganjaran dalam bentuk kewangan semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin berkait program itu,” katanya menurut BH pada Isnin.

Menurut Tengku Zafrul, objektif program Jana Wibawa ialah untuk merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera dan merancakkan sektor pembinaan negara ketika krisis pandemik COVID-19.

Kata beliau, ia sebagai sebahagian daripada pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani impak pandemik berkenaan.

Tengku Zafrul, memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan terhadap Muhyiddin, yang berdepan tuduhan menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan Projek Jana Wibawa.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mula membacakan pernyataan saksinya pada jam 10.05 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Khas Rasuah, Noor Ruwena Md Nurdin.

Tengku Zafrul yang memakai jaket biru, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) kira-kira jam 8.30 pagi sebelum mengambil tempat di kandang saksi sebagai saksi pendakwaan ke-11.

Selesai prosiding pada 25 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memberitahu wartawan, Tengku Zafrul adalah saksi penting dalam kes itu dan sudah diserahkan dokumen mahkamah berkaitan yang memerlukan kehadiran beliau.

Wan Shaharuddin berkata, keterangan Tengku Zafrul mungkin akan mengambil masa selama beberapa hari.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat