BATU PAHAT — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid bertekad meneruskan agenda kebajikan rakyat, menaik taraf infrastruktur kampung, memperkukuhkan institusi agama serta merealisasikan projek Rumah Mampu Milik Johor sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Semerah berkata, pembangunan di kawasan itu memerlukan kesinambungan memandangkan masih terdapat beberapa projek yang belum dapat diselesaikan sepanjang penggal lalu.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Pilihan Raya Negeri Johor terbitan Suara TV.
“Saya belajar bahawa kerja membantu rakyat sebenarnya tidak pernah selesai. Sebab itu pembangunan memerlukan kesinambungan. Kalau kita bercakap khusus mengenai Semerah, masyarakat di sini majoritinya masyarakat kampung dan keutamaan mereka ialah kemudahan asas yang lengkap serta proses mendapatkan bantuan yang mudah.
“Masih banyak perkara yang belum sempat diselesaikan sepanjang tempoh saya menjadi wakil rakyat. Jika diberikan peluang sekali lagi, saya mahu meneruskan agenda membantu rakyat, memajukan pembangunan Semerah dan memastikan setiap perancangan yang telah dimulakan dapat disempurnakan,”katanya.
Mohd Fared berkata, antara keutamaan yang akan diberikan perhatian ialah memperkukuhkan sistem kebajikan rakyat dengan memastikan bantuan dapat disalurkan lebih cepat dan efisien, selain memperluaskan akses kepada golongan yang benar-benar memerlukan melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat.
Beliau berkata, langkah melantik semua ketua kampung sebagai Amil Agihan Zakat telah membantu mempercepatkan proses mengenal pasti keluarga yang layak menerima bantuan.
“Sebab itu apabila saya diberi amanah sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, saya mencadangkan supaya semua ketua kampung diberi tauliah sebagai Amil Agihan Zakat. Hari ini semua ketua kampung di Johor telah diberikan tauliah tersebut dan mereka sendiri boleh mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan serta mempercepatkan proses penyaluran bantuan.
“Saya melihat perubahan ini memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat. Agenda saya ialah memastikan sistem kebajikan rakyat menjadi lebih cepat, lebih cekap dan lebih dekat dengan masyarakat supaya mereka yang memerlukan tidak lagi menunggu terlalu lama,” ujarnya.
Selain kebajikan, beliau berkata fokus turut diberikan kepada usaha menaik taraf infrastruktur kampung termasuk jalan, sistem perparitan dan kemudahan asas yang masih memerlukan perhatian.
Dalam masa sama, beliau mahu merealisasikan projek Rumah Mampu Milik Johor di Semerah selepas dua tapak dikenal pasti termasuk tanah kerajaan seluas kira-kira 20 hektar di Sungai Kajang yang telah mendapat kelulusan kerajaan negeri.
“Ramai melihat pembangunan kampung sebagai perkara yang mudah, hakikatnya ia sangat mencabar. Semerah mempunyai banyak kampung, jalan kampung, parit dan kawasan penempatan yang masih memerlukan perhatian. Jika diberi mandat sekali lagi, saya mahu memastikan kawasan-kawasan yang masih belum menerima kemudahan asas turut mendapat perhatian.
“Sehingga hari ini Semerah masih belum mempunyai projek Rumah Mampu Milik Johor. Namun hasil usaha yang dilakukan sepanjang penggal lalu, kita telah mengenal pasti dua tapak yang sesuai dan saya berharap projek ini dapat dimulakan dalam tempoh terdekat supaya lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.
Mengulas portfolio sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared berkata usaha membasmi miskin tegar akan terus menjadi keutamaan kerana golongan berkenaan memerlukan perhatian berterusan.
Pada masa sama, beliau mahu meneruskan usaha memperkasakan sekolah agama di Johor melalui penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan pembelajaran.
“Walaupun kita menyebut tentang sifar miskin tegar, hakikatnya data miskin tegar sentiasa berubah. Sebab itu usaha membasmi miskin tegar tidak pernah berhenti dan perlu dilaksanakan secara berterusan supaya golongan ini terus mendapat pembelaan.
“Sepanjang penggal lalu, kerajaan negeri telah memperuntukkan hampir RM79 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan sekolah agama. Peruntukan ini digunakan bagi membaiki bumbung, pendawaian elektrik, tandas serta pelbagai kemudahan lain supaya pelajar dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa,” jelasnya.
Mohd Fared turut menegaskan pendekatan terhadap pengundi muda perlu berubah mengikut perkembangan semasa dengan memanfaatkan media sosial sebagai medium dakwah dan penyampaian maklumat yang lebih dekat dengan generasi tersebut.
Beliau berkata institusi agama perlu mendekati golongan muda melalui platform yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka.
“Kalau dahulu kita menunggu orang datang ke masjid atau menghadiri kuliah agama, hari ini pendekatannya perlu berubah. Kalau mereka tidak dapat datang kepada kita, maka kitalah yang perlu membawa ilmu kepada mereka melalui medium yang mereka gunakan setiap hari.
“Saya percaya pendekatan dakwah hari ini mesti bersifat lebih mesra, lebih dekat dan tidak menghukum. Apabila masyarakat khususnya golongan muda merasakan institusi agama dekat dengan mereka, mereka juga akan lebih yakin untuk mendekati agama,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kekuatan BN di Semerah berpunca daripada jentera akar umbi yang tersusun dan sentiasa bersama masyarakat sehingga ke peringkat kampung serta Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi menilai beliau berdasarkan rekod perkhidmatan yang telah dilaksanakan sepanjang menjadi wakil rakyat dan Exco Kerajaan Negeri.
“Saya berharap rakyat menilai saya berdasarkan rekod perkhidmatan yang telah saya laksanakan. Jika diberikan peluang sekali lagi, saya ingin meneruskan agenda membantu rakyat, memperkukuhkan kebajikan masyarakat, memajukan pembangunan Semerah serta memperkasakan syiar Islam di Negeri Johor,” katanya.
Untuk rekod Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Semerah, menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pertembungan melibatkan Mohd Khuzzan Abu Bakar yang mewakili PH, penyandang kerusi berkenaan, Mohd Fared Mohd Khalid daripada BN serta calon PN Halim @ Othman Kepol.



