SELAYANG – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyifatkan pertemuan yang diadakan baru-baru ini bersama dengan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) adalah satu langkah baik antara kedua-dua pihak untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian untuk beberapa masalah dan isu.
Yang Dipertua MPS, Shahman Jalaludin Jumaat lepas menerima kunjungan hormat kira-kira 6 orang wakil NGO diketuai oleh Presiden Pertubuhan Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah.
Beliau berkata pertemuan seumpama itu adalah satu langkah awal yang baik di antara kedua-dua pihak iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan NGO untuk berbincang dari semasa ke semasa untuk berbincang tentang pelbagai masalah.
“Bagi kami, NGO adalah pertubuhan yang rapat dengan orang ramai dan sentiasa berdepan dengan permasalah sebenar melibatkan penduduk dan dialog seperti ini boleh membantu kita mengenalpasti apa yang boleh dilakukan mengikut kapasiti perundangan yang kita (MPS) ada,” katanya kepada media selepas selesai pertemuan diadakan.
Dalam pertemuan itu, MJMM turut disertai oleh wakil dari NGO Kita Pilih Damai dan Perpaduan (Kipidap), Kelab X UCIS-TDM, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Persatuan Misi Keamanan Dan Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (BANTU) dan Kelab Bekas Tentera Gombak.
Abdul Rani berkata kunjungan hormat berkenaan merupakan susulan dari sesi libat urus yang diadakan kira-kira 2 bulan lepas.
“Saya berpendapatan tuan YDP sangat bagus kerana penerima apa permasalahan kita dan InshaAllah kita akan berkomunikasi dengan pihak MPS berkenaan apa yang dibincangkan tadi,” katanya.
Antara isu yang dibincangkan ialah kegiatan perniagaan oleh warga asing di sekitar kawasan Selayang khususnya di Pasar Borong serta masalah melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurut Abdul Rani yang dipanggil Ayahanda, beliau memperjuangkan nasib bekas anggota tentera untuk diberikan peruntukan tempat berniaga selepas berhenti dari menjadi tentera sebagai sumber pendapatan.
“Kita berharap pihak MPS boleh beri satu kemudahan untuk bekas anggota tentera berniaga seperti di kawasan pasar borong berkenaan.
“Kita beri pada bekas anggota tentera daripada kita terus mengalami masalah berkaitan warga asing terus berniaga di kawasan itu,” katanya.
Abdul Rani sejak kebelakangan ini kurang muncul dalam liputan media tidak seperti ini sebelum ini kerana beliau dikenali sebagai seorang yang begitu kerap membuat laporan polis terhadap pelbagai isu melibatkan masyarakat.


