KUALA LUMPUR, – Hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip di seluruh negara telah diluluskan tambahan kuota 100 liter diesel sebulan di bawah inisiatif BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), menjadikan jumlah kelayakan mereka meningkat kepada 300 liter sebulan bermula Julai 2026.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga 4 Julai lalu, kelulusan itu melibatkan lebih 174,000 pemilik kenderaan di Semenanjung Malaysia serta lebih 22,000 pemilik di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut kementerian, penambahan kuota itu dibuat selepas mengambil kira penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik pikap dan jip, khususnya bagi tujuan perniagaan kecil dan sederhana serta perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memahami bahawa kenderaan diesel bukan sekadar digunakan untuk perjalanan harian, malah menjadi sumber mencari rezeki dan mengurus keperluan keluarga.
“Harapan kita, kemudahan tambahan 100 liter ini dapat membantu mereka mengurus keperluan diesel bulanan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut menambah baik pelaksanaan BUDI Diesel dengan membolehkan penerima asal membuat permohonan pemindahan kelayakan sekiranya kenderaan digunakan oleh ahli keluarga terdekat yang berbeza daripada pemilik berdaftar.
Selain itu, pengguna sebenar juga boleh mengemas kini rekod pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan kerajaan memberikan pengecualian fi pertukaran hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026.
Sehingga 4 Julai, lebih 2,000 permohonan pemindahan kelayakan telah diterima melalui portal rasmi BUDI MADANI.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Kewangan memaklumkan lebih 336,000 transaksi diesel bersubsidi direkodkan sejak akses awal BUDI Diesel bermula pada 27 Jun hingga 4 Julai lalu.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 12.6 juta liter diesel bersubsidi telah dibeli dengan nilai subsidi melebihi RM23 juta ditanggung Kerajaan MADANI.
Jualan tersebut melibatkan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter ketika tempoh akses awal dan RM2.10 seliter selepas pelaksanaan penuh BUDI Diesel bermula 1 Julai.
Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia yang layak, manakala bukan warganegara serta pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.
Menurut beliau, pelaksanaan subsidi bersasar itu bukan bertujuan menafikan bantuan kepada rakyat yang layak, sebaliknya memastikan subsidi kerajaan disalurkan mengikut keperluan sebenar sambil mengekang ketirisan dan penyeludupan diesel yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.
Katanya, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel dan meneliti maklum balas rakyat serta industri bagi memastikan manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak, bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan ketirisan dapat dibendung.



