Majoriti besar BN punca isu rakyat sukar diselesaikan – Tun Faisal

JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa majoriti besar yang dimiliki Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menjadi antara punca pelbagai isu rakyat gagal diselesaikan secara berkesan.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri mempunyai ruang terlalu besar untuk melaksanakan dasar dan pendekatan tanpa semak dan imbang yang mencukupi daripada pembangkang.

“Kenapa hari ini masalah di Rengit dan seluruh Johor tidak selesai? Kenapa kerajaan negeri boleh memaksakan dasar dan tindakan mereka ke atas Bangsa Johor? Kerana UMNO mempunyai terlalu banyak kerusi,” katanya dalam satu hantaran video sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tun Faisal berkata, antara isu yang menurutnya masih membelenggu rakyat ialah bekalan air, benteng pecah, tebatan banjir, keadaan jalan raya serta kemudahan hospital.

Beliau mendakwa mengundi calon BN atau Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengubah keadaan kerana kedua-dua gabungan itu kini bersama dalam kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi mengurangkan jumlah kerusi BN, menolak calon PH dan menambah bilangan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) bagi memperkukuhkan fungsi semak dan imbang di DUN Johor.

Menurutnya, pertambahan wakil rakyat PN akan memastikan kerajaan negeri lebih bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat serta memberi ruang kepada suara rakyat dibawa dengan lebih berkesan dalam persidangan DUN.

Tun Faisal turut mencadangkan Johor mencontohi model politik Selangor yang menurutnya mempunyai pembangkang lebih kuat sehingga kerajaan negeri tidak memiliki majoriti terlalu besar.

Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa sejarah politik Johor membuktikan rakyat negeri itu mampu melakukan perubahan apabila tidak berpuas hati terhadap kerajaan yang memerintah, merujuk perubahan pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat