JOHOR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai “juara maklumat palsu” sambil mendakwa pemimpin itu menjadi liabiliti kepada parti.
Dalam kenyataan di Facebook pada Sabtu, Puad berkata beliau perlu menjawab dakwaan yang dibuat Lokman menerusi satu video walaupun disifatkannya sudah “basi” kerana mengandungi pelbagai cerita tidak benar.
Menurutnya, antara dakwaan yang perlu diperbetulkan ialah berkaitan proses pelantikannya sebagai Speaker, yang didakwanya turut mencemarkan imej pihak atasan.
“Jelas sekali Lokman ‘Juara Maklumat Palsu’. Itu kesimpulan saya sejak dulu, kini dan selamanya,” katanya.
Puad turut mendakwa Lokman merupakan satu-satunya anggota MKT UMNO yang tidak dibenarkan turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Sabah kerana dikhuatiri menjejaskan sokongan kepada parti.
“Buktinya hanya dia satu-satunya MKT UMNO dilarang turun berkempen di PRN Johor dan PRN Sabah. Takut undi makin banyak hilang,” dakwanya.
Mengulas lanjut, Puad turut menceritakan satu peristiwa ketika rombongan Barisan Nasional ke China pada September 2024.
Menurut beliau, ketika itu Lokman didakwa memaklumkan kepadanya bahawa rombakan Kabinet akan berlaku dalam tempoh sehari atau dua hari dan seorang menteri daripada UMNO akan digugurkan, manakala Lokman sendiri akan dilantik sebagai menteri.
“Masya-Allah. Betullah rezeki tidak pernah salah alamat. Memang bukan alamat dia. Sebab itu rezeki menteri tidak sampai-sampai ke alamat rumah dia hingga ke hari ini,” katanya secara sinis.
Mengakhiri kenyataannya, Puad mendakwa kredibiliti Lokman sebagai Pengarah Komunikasi UMNO menjejaskan keyakinan rakyat terhadap parti.
Beliau turut mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini bersetuju bahawa Lokman tidak layak dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).


