Mubarak masih Undang Sungai Ujong yang sah, pelantikan lain tidak ikut adat – Lembaga Luak

SEREMBAN,– Lembaga Luak Sungai Ujong menegaskan Yang Teramat Mulia Dato’ Mubarak Dohak @ Beta masih merupakan Undang Luak Sungai Ujong yang sah sehingga kini.

Dato’ Andulika Mandalika, Sazali bin Mohamed Yasin, berkata, sebarang pelantikan lain sebagai Undang Luak Sungai Ujong adalah tidak sah kerana didakwa tidak melalui saluran adat dan aturan yang ditetapkan.

Menurutnya, pelantikan Undang Luak Sungai Ujong yang baharu mestilah melalui Tuan Lembaga Adat serta Dato’-Dato’ Lembaga di Sungai Ujong.

“Pelantikan Dato’ Undang Luak Sungai Ujong yang baharu adalah tidak sah dari segi adat dan undang-undang adat.

“Jika pelantikan itu sah, ia mestilah melalui saya dan Dato’-Dato’ Lembaga di Sungai Ujong. Apa yang berlaku ialah mereka menggunakan jalan pintas yang tidak melalui saluran adat yang betul,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sazali berkata, pihaknya menolak sebarang usaha menggantikan Undang sedia ada selagi pelantikan itu tidak disahkan oleh Dato’-Dato’ Lembaga Luak Sungai Ujong.

Beliau turut memberi amaran bahawa pertikaian tersebut boleh memecah-belahkan masyarakat serta menimbulkan kekeliruan terhadap kesahihan institusi Undang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata satu surat bantahan rasmi akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Majlis Raja-Raja, dengan sesalinan kepada Peguam Negara.

Surat itu, katanya, akan disediakan selepas perbincangan dengan Dato’-Dato’ Undang dan Lembaga berkaitan.

Terdahulu, Muhammad Faris Johari dizahirkan sebagai Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong ke-11 dalam Istiadat Mengadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti pada 27 Jun lalu.

Bagaimanapun, Lembaga Luak Sungai Ujong mempertikaikan pelantikan itu dan mendakwa proses berkenaan tidak mengikut adat serta aturan Luak Sungai Ujong.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat