PRN Johor: Adham Baba komited jayakan agenda Maju Johor 2030 jika diberi mandat rakyat

TENGGARA — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N35 Pasir Raja, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata beliau komited untuk menjayakan agenda Maju Johor 2030 sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan yang mampan, inklusif serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata, Johor kini berada di landasan yang baik hasil kestabilan politik yang membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan secara lebih pantas dan berkesan.

Menurutnya, antara pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri ialah pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan daya saing Johor di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Sekiranya diberi mandat oleh rakyat, saya membawa satu visi yang jelas iaitu Maju Johor 2030. Saya percaya Johor berada di landasan yang baik hasil kestabilan politik yang dinikmati ketika ini.

“Dengan kerajaan yang stabil, banyak keputusan dapat dibuat dengan lebih pantas dan lebih agresif demi pembangunan negeri.

“Antara pemangkin utama ialah penubuhan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) yang bakal menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Suara TV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Beliau berkata kemasukan pelaburan yang lebih besar bukan sahaja mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor dan hasil kerajaan negeri, malah akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Tambahnya pembangunan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup masyarakat melalui peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi yang boleh dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan agenda Maju Johor 2030 tidak boleh bergantung kepada pelaburan semata-mata.

Sebaliknya, ia memerlukan gabungan pengalaman pemimpin yang berpengalaman dengan semangat, tenaga dan idea baharu daripada generasi muda bagi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan secara mampan.

“Untuk mencapai Maju Johor 2030, kita bukan sahaja memerlukan pelaburan. Kita juga memerlukan gabungan pengalaman dan tenaga orang muda.

“Saya percaya pengalaman perlu digandingkan dengan semangat serta idea baharu daripada generasi muda. Gabungan inilah yang akan mengukuhkan pentadbiran dan memastikan pembangunan Johor dapat diteruskan sehingga mencapai sasaran tahun 2030,” katanya.

Mengulas mengenai pembangunan luar bandar, bekas Menteri Kesihatan itu berkata manfaat pelaksanaan JS-SEZ tidak seharusnya hanya tertumpu di kawasan Iskandar Malaysia, sebaliknya perlu diperluaskan secara berperingkat ke kawasan tengah dan utara Johor supaya limpahan ekonomi turut dirasai masyarakat di luar bandar termasuk Pasir Raja.

Beliau berkata kawasan Kota Tinggi dan Tenggara mempunyai potensi besar dalam sektor bioteknologi, pertanian dan pelancongan yang mampu menjadi pemacu baharu ekonomi negeri.

Justeru, rakyat di kawasan berkenaan perlu dipersiapkan dengan kemahiran, pendidikan dan peluang pekerjaan agar mereka dapat memanfaatkan pelaburan yang bakal diwujudkan.

“Apabila pembangunan JS-SEZ berkembang pada masa hadapan, manfaatnya juga akan sampai ke kawasan luar bandar seperti Pasir Raja.

“Yang penting ialah kita perlu memastikan rakyat di kawasan ini bersedia dari segi kemahiran, pendidikan dan peluang pekerjaan supaya mereka turut menikmati limpahan pembangunan tersebut,” katanya.

Selain memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, Dr. Adham berkata beliau turut mahu memastikan isu masyarakat menua (aging society) diberikan perhatian sewajarnya.

Tambahnya, peningkatan jumlah warga emas memerlukan pendekatan lebih menyeluruh daripada aspek penjagaan kesihatan, kesejahteraan dan kualiti hidup supaya golongan itu terus menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan Johor pada masa hadapan.

Untuk rekod, Dr. Adham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenggara kembali membuat kemunculan di pentas pilihan raya apabila dicalonkan Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi DUN N35 Pasir Raja.

Beliau akan berdepan saingan tiga penjuru menentang Mohd Fakharuddin Moslim daripada Pakatan Harapan (PH) dan Yuhanita Yunan yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Dr. Adham pernah menyandang kerusi DUN Pasir Raja selama dua penggal dari 2008 hingga 2018 sebelum beralih ke Parlimen Tenggara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau bagaimanapun tidak dicalonkan pada PRU15 sebelum kembali diberi kepercayaan bertanding pada PRN Johor kali ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat