Thule lancar Flagship Store pertama di Mid Valley, tawar rangkaian produk lengkap di Malaysia

KUALA LUMPUR, – Selepas bertahun-tahun membina jenama menerusi rangkaian pengedar dan platform dalam talian, Thule akhirnya membuka flagship store pertamanya di Malaysia dengan memilih Mid Valley Megamall sebagai lokasi sulung. Pembukaan kedai rasmi itu bukan sahaja membolehkan pelanggan melihat sendiri pelbagai produk yang ditawarkan, malah menjadi langkah penting bagi memperkenalkan identiti sebenar Thule kepada pengguna tempatan yang selama ini lebih mengenali jenama tersebut menerusi koleksi beg galas dan aksesori perjalanan.

Terletak di Lot S-079, Aras 2, Mid Valley Megamall, kedai itu menghimpunkan pelbagai kategori produk di bawah satu bumbung. Sebaik melangkah masuk, pengunjung disambut dengan susun atur yang kemas dan moden, membolehkan setiap kategori produk dipamerkan mengikut kegunaan masing-masing. Daripada beg galas untuk kegunaan harian, bagasi bagi mereka yang kerap mengembara, sehinggalah stroller, kerusi keselamatan kanak-kanak, roof box dan rak basikal, semuanya boleh dilihat dan dicuba secara langsung oleh pelanggan.

Executive Director Thule Malaysia, Eugene Wong berkata pembukaan flagship store tersebut menjadi satu perkembangan yang dinantikan kerana buat pertama kalinya pengguna di Malaysia dapat melihat sendiri keseluruhan rangkaian produk Thule di sebuah kedai rasmi.

Menurut beliau, sebelum ini produk Thule dipasarkan melalui beberapa rakan niaga termasuk Thunder Match, Harvey Norman, Apple Premium Reseller serta saluran e-dagang. Walaupun produk syarikat mudah diperoleh menerusi pelbagai platform tersebut, pelanggan masih tidak berpeluang melihat keseluruhan kategori produk dalam satu lokasi.

“Kami mahu pelanggan datang ke sini dan melihat sendiri apa yang Thule tawarkan. Selama ini ramai mengenali kami sebagai jenama beg, tetapi sebenarnya kami mempunyai pelbagai kategori produk lain yang mungkin masih belum diketahui ramai,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan kedai tersebut.

Beliau berkata, flagship store itu memberi peluang kepada pelanggan untuk memahami sendiri fungsi setiap produk sebelum membuat keputusan membeli. Berbeza dengan pembelian secara dalam talian yang hanya bergantung kepada gambar dan spesifikasi, pelanggan kini boleh memegang produk, menilai ruang simpanan beg, mencuba mekanisme stroller serta melihat sendiri ciri keselamatan yang terdapat pada kerusi kanak-kanak.

Menurut Eugene, pendekatan seperti itu penting kerana kebanyakan produk Thule dibangunkan untuk kegunaan jangka panjang. Oleh itu, pelanggan lazimnya mahu melihat sendiri kualiti bahan, kemasan serta reka bentuk sebelum membuat pelaburan terhadap sesuatu produk.

Beliau menjelaskan bahawa setiap produk Thule dibangunkan dengan memberi perhatian kepada aspek ketahanan, fungsi dan kemudahan penggunaan. Sebagai jenama yang berasal dari Sweden, Thule sentiasa menumpukan kepada pembangunan produk yang mampu digunakan dalam pelbagai keadaan sama ada untuk perjalanan harian di bandar, aktiviti riadah bersama keluarga mahupun pengembaraan di luar negara.

Di dalam flagship store ini, pelanggan boleh memilih daripada kira-kira 180 unit SKU yang merangkumi pelbagai kategori. Koleksi beg galas masih menjadi antara tarikan utama kerana ia merupakan produk yang paling mendapat sambutan dalam pasaran Malaysia sejak beberapa tahun lalu. Selain menawarkan ruang simpanan yang praktikal, beg galas Thule turut menjadi pilihan dalam kalangan pelajar universiti, golongan profesional dan mereka yang kerap melakukan perjalanan kerana reka bentuknya yang ringkas serta tahan lasak.

Selain beg galas, Eugene berkata organizer perjalanan dan bagasi turut mencatat permintaan yang memberangsangkan. Pada masa sama, syarikat mahu memperkenalkan dengan lebih meluas kategori stroller dan kerusi keselamatan kanak-kanak yang kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan ibu bapa muda.

Menurut beliau, kerusi keselamatan kanak-kanak merupakan antara produk terbaharu yang diperkenalkan oleh Thule. Produk tersebut dibangunkan dengan pelbagai ciri keselamatan moden bagi memenuhi keperluan keluarga yang mementingkan perlindungan anak ketika berada di dalam kenderaan.

Sebagai jaminan kepada pelanggan, kerusi keselamatan kanak-kanak didatangkan dengan tempoh jaminan selama tiga tahun, manakala beg galas pula dilindungi jaminan selama dua tahun. Sekiranya berlaku kerosakan yang berada dalam skop jaminan, pelanggan akan menerima pertukaran produk secara satu-ke-satu tanpa perlu melalui proses pembaikan.

Mengulas mengenai pemilihan Mid Valley Megamall sebagai lokasi flagship store pertama, Eugene berkata pusat beli-belah itu dipilih kerana kedudukannya yang strategik selain menjadi destinasi membeli-belah yang menerima kunjungan pengunjung dari seluruh Lembah Klang setiap hari.

Walaupun baru membuka satu kedai rasmi, beliau berkata Thule sudah mempunyai perancangan untuk menambah lebih banyak lokasi pada masa hadapan. Antara pusat beli-belah yang sedang dinilai termasuk Pavilion Kuala Lumpur dan Sunway Pyramid, bergantung kepada kesesuaian ruang serta perancangan syarikat.

Beliau turut menjelaskan bahawa Thule tidak terlalu memberi perhatian kepada persaingan dengan jenama lain. Sebaliknya, syarikat memilih untuk memberi tumpuan kepada pembangunan produk yang memenuhi keperluan pengguna dan mengekalkan standard kualiti yang menjadi identiti jenama tersebut sejak sekian lama.

“Kami mahu pengguna memilih Thule kerana mereka yakin terhadap kualiti produk kami. Itu yang menjadi keutamaan kami,” katanya.

Bersempena pembukaan flagship store pertama ini, Thule menawarkan pelbagai promosi bermula 3 hingga 31 Julai 2026. Antara yang ditawarkan termasuk pakej value buy dan bundle deal untuk beberapa produk terpilih, termasuk pakej perjalanan pada harga bermula RM599 berbanding harga asal sekitar RM899.

Selain menikmati tawaran harga istimewa, pelanggan yang membuat pembelian minimum RM600, RM1,200 dan RM1,800 turut akan menerima aksesori eksklusif Thule sebagai hadiah, tertakluk kepada syarat dan terma promosi.

Walaupun enggan mendedahkan sasaran jualan secara terperinci, Eugene mengesahkan bahawa syarikat meletakkan sasaran jualan dalam lingkungan tujuh angka bagi flagship store di Mid Valley sepanjang tahun ini.

Dengan pembukaan kedai rasmi pertamanya di Malaysia, Thule kini membuka ruang kepada lebih ramai pengguna untuk mengenali keseluruhan rangkaian produknya secara lebih dekat. Kehadiran flagship store ini juga dijangka menjadi pemangkin kepada rancangan syarikat untuk menambah lebih banyak cawangan pada masa hadapan, sekali gus menawarkan pilihan yang lebih luas kepada pengguna yang mencari produk premium untuk perjalanan, aktiviti luar dan kegunaan seisi keluarga.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat