Di sebalik setiap senyuman ketika menerima keputusan peperiksaan, tersimpan sebuah perjalanan yang tidak semua orang pernah lihat. Ada air mata yang mengalir, ada pengorbanan yang tidak pernah diceritakan dan ada harapan yang terus dipertahankan hingga ke saat akhir. Kisah-kisah inilah yang dibawa oleh PTTI menerusi dokumentari Selekoh Akhir – The Untold Story Behind The A’s, sebagai penghargaan kepada perjuangan sebenar yang dilalui calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam mengejar kejayaan.
Membawa pendekatan yang berbeza daripada kebiasaan, PTTI memilih untuk mengetengahkan kisah sebenar di sebalik pencapaian akademik pelajarnya berbanding hanya mempromosikan keputusan cemerlang atau statistik kejayaan. Dokumentari tersebut memberi gambaran lebih mendalam tentang perjalanan yang dilalui pelajar, ibu bapa dan guru dalam memastikan setiap usaha membuahkan hasil menjelang peperiksaan SPM.
Dokumentari itu dipertontonkan buat julung kalinya menerusi tayangan perdana eksklusif yang berlangsung di GSC Aurum Theatre, The Exchange TRX, Kuala Lumpur. Acara berkenaan menghimpunkan tenaga pengajar, alumni, ibu bapa, pelajar serta beberapa personaliti terkenal sebagai simbol penghargaan terhadap usaha yang telah membantu ribuan pelajar mengubah pencapaian akademik mereka sejak Program Selekoh Akhir diperkenalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata, dokumentari tersebut dihasilkan bagi memperlihatkan proses sebenar yang berlaku di sebalik kejayaan pelajar-pelajar PTTI yang sering menjadi perhatian masyarakat setiap kali keputusan SPM diumumkan.
Menurut beliau, ramai hanya melihat kejayaan yang diraih, namun tidak mengetahui bagaimana usaha tersebut dibina secara konsisten daripada peringkat awal sehingga berjaya melahirkan keputusan yang membanggakan.
“Rakyat Malaysia nampak kejayaan keputusan SPM yang dibina oleh PTTI. Tetapi, semua tidak tahu bagaimana proses kejayaan itu dihasilkan berulang-ulang kali. Itulah sebab kami hasilkan Selekoh Akhir PTTI – The Untold Story Behind The A’s,” katanya.
Selain mengetengahkan kisah pelajar, dokumentari tersebut turut memberi penghargaan kepada tenaga pengajar yang menjadi antara faktor utama kejayaan Program Selekoh Akhir. Mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah berperanan membimbing, memberi motivasi dan membina semula keyakinan pelajar yang pernah berdepan kegagalan atau hilang semangat untuk meneruskan perjuangan.
Pada majlis sama, PTTI turut memperkenalkan barisan guru Program Selekoh Akhir yang terdiri daripada pendidik sepenuh masa dengan pengalaman mengajar yang luas. Sebahagian daripada mereka mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam subjek Matematik Tambahan, manakala kebanyakan tenaga pengajar lain telah berkhidmat melebihi sedekad dalam bidang pendidikan.
Mereka juga memiliki kelayakan akademik di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang, sekali gus memperlihatkan komitmen PTTI dalam menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman serta berkualiti bagi membimbing pelajar menghadapi peperiksaan.
Menurut Cikgu Fana, Program Selekoh Akhir dibangunkan sebagai program persediaan intensif sepanjang tiga bulan terakhir sebelum peperiksaan SPM dengan memberi tumpuan kepada pelajar yang masih lemah, ketinggalan atau belum mencapai sasaran akademik mereka.
Beliau berkata, tempoh tersebut sering menjadi fasa paling penting untuk seseorang pelajar memperbaiki kelemahan sekiranya diberikan teknik pembelajaran yang sistematik, strategi menjawab soalan yang berkesan dan bimbingan yang berterusan.
Sejak diperkenalkan pada 2019, Program Selekoh Akhir telah membantu ramai pelajar meningkatkan pencapaian daripada gred gagal kepada keputusan cemerlang, malah tidak kurang yang berjaya memperoleh keputusan straight A dalam peperiksaan SPM.
Kejayaan yang dicapai secara konsisten itu turut membolehkan PTTI menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebanyak tiga kali sebagai pusat tuisyen yang melahirkan jumlah pelajar memperoleh keputusan straight A SPM paling ramai di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pertumbuhan (CGO) PTTI, Sir Race berkata, Program Selekoh Akhir diwujudkan atas kepercayaan bahawa setiap pelajar masih mempunyai peluang untuk mengubah masa depan mereka selagi peperiksaan belum bermula.
Menurut beliau, masih ramai pelajar yang beranggapan keputusan peperiksaan percubaan menjadi penentu mutlak kepada keputusan SPM sebenar, sedangkan masih ada ruang untuk melakukan perubahan sekiranya mereka bertindak pada waktu yang tepat.
“Di PTTI, kami percaya tiada pelajar yang terlalu lewat untuk berubah. Selagi masih ada masa sebelum peperiksaan, selagi itu masih ada peluang untuk bangkit. Selekoh Akhir diwujudkan khusus untuk membuktikan bahawa dengan bimbingan yang betul, pelajar yang gagal juga mampu mencapai keputusan cemerlang jika dia membuat keputusan yang betul sekarang,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan PTTI bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan akademik, malah membantu membina keyakinan diri pelajar supaya mereka berani mencabar kemampuan sendiri dan tidak mudah berputus asa.

Majlis tayangan perdana itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk AC Mizal selaku hos bersama isterinya, Datin Emylia. Turut hadir ialah MK, Iman, Alyssa Dezek yang juga merupakan pelajar Program Selekoh Akhir 2025 dan berjaya memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan SPM, selain Madammu, Asyraf Khalid, Tya Arifin serta alumni Program Selekoh Akhir bagi sesi 2019 hingga 2025.
Kehadiran alumni daripada pelbagai kohort menjadi bukti bahawa Program Selekoh Akhir bukan sekadar sebuah program persediaan peperiksaan, malah menjadi titik perubahan kepada ramai pelajar yang pernah berdepan cabaran dalam akademik. Kisah mereka memperlihatkan bahawa kejayaan bukan hanya milik pelajar yang sentiasa berada di hadapan, sebaliknya turut boleh dicapai oleh mereka yang berani bangkit pada saat-saat terakhir.
Menerusi dokumentari Selekoh Akhir – The Untold Story Behind The A’s, PTTI bukan sekadar berkongsi kisah kejayaan, tetapi turut mengangkat nilai kesungguhan, pengorbanan dan harapan yang menjadi asas kepada setiap pencapaian. Ia membawa mesej bahawa setiap pelajar masih mempunyai peluang untuk mengubah masa depan selagi mereka tidak berhenti berusaha, kerana kadangkala selekoh terakhir itulah yang menentukan destinasi sebuah kejayaan



