JOHOR BAHRU, 3 Julai – Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menggesa pengundi Johor menambah jumlah wakil Perikatan Nasional (PN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya mahukan perubahan serta semak dan imbang yang lebih berkesan terhadap kerajaan negeri.
Menurut beliau, walaupun PN bertanding di 33 daripada 56 kerusi DUN Johor dan memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, peluang gabungan itu masih terbuka berdasarkan trend sokongan semasa.
Tun Faisal berkata, tinjauan Vodus Research yang dijalankan antara 15 hingga 29 Jun lalu menunjukkan Barisan Nasional (BN) mendahului di 20 kerusi DUN, manakala 31 kerusi lagi masih terbuka, termasuk 14 kerusi yang berada dalam persaingan sengit.
Katanya, dapatan kajian itu juga menunjukkan 31 peratus pengundi masih merupakan “soft voters”, manakala 63 peratus daripada pengundi yang enggan menyatakan pilihan masih boleh mengubah pendirian. Selain itu, 85 peratus pengundi yang belum membuat keputusan juga dikatakan masih belum memilih parti yang akan disokong.
Beliau mendakwa rakyat Johor, khususnya di kawasan luar bandar, masih berdepan pelbagai isu termasuk bekalan air, banjir, tanah peneroka FELDA, peluang pekerjaan anak muda serta jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Tun Faisal turut mengaitkan tekanan yang dihadapi rakyat dengan beberapa dasar kerajaan Persekutuan, antaranya peningkatan kos sara hidup, kenaikan kos operasi perniagaan, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-Invois serta penarikan subsidi.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak seharusnya dibiarkan terlalu selesa tanpa semak dan imbang kerana keadaan itu boleh menyebabkan kepentingan rakyat kurang diberi perhatian.
Beliau berkata, pengalaman di Selangor menunjukkan pembangkang yang mempunyai bilangan kerusi yang besar mampu memainkan peranan sebagai kuasa semak dan imbang dengan membawa isu rakyat serta memberi tekanan kepada kerajaan negeri.
“Model PN di Selangor wajar dipertimbangkan oleh Bangsa Johor. Jika benar mahukan perubahan, tambah jumlah wakil PN dalam DUN Johor,” katanya.
Tun Faisal turut mendakwa calon-calon PN menawarkan gabungan pemimpin berpengalaman dan muka baharu yang berkelayakan, sambil mengkritik proses pemilihan calon BN dan menyifatkan sebahagian besar calon PH masih kurang berpengalaman.
Beliau berkata, pilihan raya kali ini bukan sekadar memilih kerajaan, sebaliknya menentukan keseimbangan kuasa dalam DUN Johor bagi memastikan kerajaan negeri terus dipantau dan dipertanggungjawabkan.



