Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026 kepada 14 penerima cemerlang yang terdiri daripada tujuh penerima di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dan tujuh penerima di peringkat Sarjana (Penyelidikan) di Istana Negara dekat sini, baru-baru ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut, empat penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara, manakala 10 penerima lagi akan meneruskan pengajian masing-masing di universiti penyelidikan tempatan.
“JPA akan terus memperkukuh pembangunan bakat berprestasi tinggi melalui pelaksanaan program penajaan yang responsif kepada keperluan Strategik negara serta sektor awam, ”kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz.
“Pelaburan berterusan dalam pembangunan modal insan melalui penajaan pendidikan merupakan antara usaha penting untuk memastikan Malaysia memiliki kepakaran bertaraf global dalam bidang-bidang strategik yang menyokong agenda pembangunan negara, peningkatan produktiviti serta daya saing di peringkat antarabangsa, ”katanya dalam kenyataan.
Tujuh penerima biasiswa bagi pengajian peringkat PhD, ialah Afiefah Zulkifli bidang Pemakanan di Universiti Putra Malaysia (UPM); Aiman Zakwan Azman, bidang Farmakologi & Farmasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Chua Hui Qu, bidang Matematik & Statistik, UKM; Giroon Ijod, bidang Pemakanan, UKM; Haimon A/L Franklin bidang Biologi, UKM; Lee Yu Shi, bidang Catalysis di Universiti Malaya (UM); dan Waywen Loh Chang Yuan, bidang Immunology di University Of Oxford, United Kingdom.
Penerima penajaan Penyelidikan ialah Amirul Haziq Azwan, bidang Biologi, University College London, United Kingdom; Chan Lee Yue, bidang Farmakologi & Farmasi University College London; Chris Ee Jia Wen, bidang Genetic & Heredity, Universiti Sains Malaysia (USM); Lim Fang bidang Biokimia, UKM; Mohamad Izuwansah Ishak, bidang Persekitaran, UPM; Muhamad Zulhusni Che Razali bidang Persekitaran, Imperial College London, United Kingdom; dan Putri Najihah Athirah Zamrifana, bidang Sains Veterinar, UPM.
Wan Ahmad Dahlan berkata BYDPA, atau King’s Scholarship, merupakan biasiswa paling berprestij di bawah JPA yang diperkenalkan pada tahun 2006 bagi menaja warganegara Malaysia yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah aktif dalam aktiviti kokurikulum, kemasyarakatan serta penghasilan karya berunsurkan kreativiti dan inovasi.
“Sejak diperkenalkan, seramai 239 warganegara Malaysia telah menerima penajaan BYDPA yang melibatkan 124 penerima di peringkat Ph.D dan 115 penerima di peringkat Sarjana (Penyelidikan).
“Penajaan BYDPA meliputi bidang-bidang strategik dan kritikal negara seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Ekonomi, Undang-Undang, Kewangan Islam serta Kecerdasan Buatan (AI),”ujarnya.
Ujarnya lagi, tumpuan kepada bidang-bidang tersebut mencerminkan komitmen berterusan untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam sektor berimpak tinggi yang menjadi pemacu kemajuan negara pada masa hadapan.
“Tahniah turut dirakamkan kepada semua penerima BYDPA atas pencapaian cemerlang yang telah diraih. Mereka diharap dapat memanfaatkan peluang ini untuk memperkukuh kepakaran serta menyumbang kepada pembangunan negara melalui bidang masing-masing.
“Sebagai biasiswa paling berprestij negara, BYDPA mencerminkan komitmen berterusan negara dalam mengiktiraf dan membangunkan bakat terbaik Malaysia bagi menerajui bidang-bidang strategik serta menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan, ”tambahnya.
Dalam perkembangan sama, JPA menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas perkenan baginda menyempurnakan majlis penganugerahan ini. -SUARA.TV



