KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi mendakwa masih banyak perkara yang diberitahu oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepadanya yang belum didedahkan kepada umum.
Puad berkata, buat masa ini beliau memilih untuk menyimpan perkara tersebut sebagai rahsia.
“Banyak lagi benda lain dia beritahu saya di Saujana pada 21 Jun 2026. Saya simpan dulu sebagai rahsia,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau sekali lagi mengkritik Onn Hafiz berhubung beberapa isu yang dibangkitkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Puad, beliau terpaksa menggunakan media sosial untuk menjawab kenyataan Menteri Besar Johor kerana Onn Hafiz enggan menyahut cabaran berdebat.
“Saya menjawab apa yang Dato’ katakan di Rengit. Semalam MB datang Rengit. Oleh kerana MB tidak mahu berdebat, maka saya kena jawab melalui media sosial. Ini sahaja platform yang saya ada,” katanya.
Puad turut mempertahankan pendiriannya menggesa pengundi Rengit menangguhkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sehingga dua isu utama di kawasan itu diselesaikan, iaitu pembinaan tangki air Rengit dan benteng yang pecah.
Menurut beliau, kedua-dua isu itu membabitkan kepentingan rakyat dan bukannya isu peribadi seperti yang didakwa Onn Hafiz.
“MB kata itu isu peribadi. Bukankah dua isu itu adalah isu rakyat. Isu yang rakyat Rengit marah kepada saya selaku ADUN dan dia sebagai MB,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Onn Hafiz yang tidak melawat lokasi benteng pecah dan tapak pembinaan tangki air ketika berkempen di Rengit walaupun kedua-dua lokasi itu hanya beberapa minit dari tempat kempen berlangsung.
Dalam hantaran sama, Puad berkata beliau dan anaknya sudah menerima hakikat bahawa Omar Hafidz tidak dipilih sebagai calon PRN Johor, malah anaknya kekal bersama UMNO walaupun dipecat daripada jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO yang dilantik.
“Anak saya tidak dapat jadi calon dan saya sudah keluar parti. Anak saya pula masih kekal dalam UMNO walaupun dipecat sebagai AJK Pemuda dilantik. Pada saya itu juga latihan kepimpinan untuknya,” katanya.
Puad turut mendakwa Onn Hafiz terus memainkan isu anaknya ketika berkempen, selain mengingatkan Menteri Besar Johor itu supaya tidak membuat kenyataan yang tidak benar.


