BUTTERWORTH – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mencadangkan supaya sesi permukiman bersama pengamal media dijadikan sebahagian daripada acara tetap dalam setiap penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada masa akan datang.
Beliau berkata, sesi berkenaan boleh menjadi platform penting untuk menghimpunkan pandangan, maklum balas dan cadangan daripada pemain industri media sebelum disalurkan kepada kerajaan bagi tujuan penambahbaikan dasar serta pembangunan industri.
Menurutnya, Kementerian Komunikasi akan meminta Majlis Media Malaysia (MMM) menyelaras penganjuran sesi permukiman tersebut bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“Sesi itu nanti akan berperanan untuk kita mengumpulkan maklum balas, pandangan, dapatan dan cadangan daripada industri untuk disampaikan kepada pihak kerajaan.
“Cadangan itu sama ada bersifat dasar atau pindaan kepada akta dan undang-undang, termasuk isu-isu yang mungkin berkaitan dengan kelangsungan serta kemampanan industri media itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi Dialog Menteri Komunikasi Bersama Media sempena sambutan HAWANA 2026 di Butterworth, hari ini.
Fahmi berkata sesi dialog yang berlangsung hampir dua jam itu memberi peluang kepada wakil-wakil media menyuarakan pelbagai isu berkaitan cabaran semasa industri.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj serta Pengerusi Majlis Media Malaysia, Tan Sri Nallini Pathmanathan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata antara cabaran utama yang dibangkitkan industri media ketika ini ialah aspek ekonomi, khususnya berkaitan kandungan yang dihasilkan media arus perdana tetapi disebarkan melalui platform media sosial tanpa memberikan pulangan yang setimpal kepada organisasi media.
Menurut beliau, isu tersebut memerlukan perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada kemampanan industri media tempatan.
“Saya harap Majlis Media Malaysia boleh mengadakan perbincangan dengan platform media sosial. Di pihak kerajaan, kami bersedia untuk membantu dalam proses berkaitan,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara kerajaan, Majlis Media Malaysia dan syarikat platform digital penting bagi memastikan ekosistem media negara terus mampan serta mampu menghadapi cabaran landskap media yang semakin berubah.



