GEORGE TOWN – Bekas Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan mengesahkan parti itu telah meluluskan proses penjenamaan semula dengan menukar nama kepada Parti Wawasan Negara serta membentuk barisan kepimpinan baharu dalam satu mesyuarat khas yang diadakan semalam.
Huan berkata, beliau sendiri telah dipilih sebagai Naib Presiden Parti Wawasan Negara, manakala pengumuman mengenai kepimpinan parti di peringkat Pulau Pinang akan dibuat oleh Presiden parti dalam masa terdekat.
“Ramai yang tertanya-tanya apa sudah jadi dengan saya. Untuk makluman sahabat-sahabat, saya telah dipilih sebagai Naib Presiden Parti Wawasan Negara pada mesyuarat khas yang diadakan semalam.
“Di peringkat Negeri Pulau Pinang, tunggulah sahaja Presiden Parti Wawasan membuat pengumuman kemudian,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut beliau, penjenamaan semula itu menyaksikan transformasi besar parti yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang wakil rakyat selama 16 tahun, namun kini tampil dengan kekuatan baharu selepas disertai sejumlah pemimpin politik dan profesional.
Huan mendakwa Parti Wawasan Negara kini mempunyai 19 Ahli Parlimen serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), selain disertai ramai tokoh profesional dan individu berpengalaman.
“Bermula daripada sebuah parti yang tidak mempunyai apa-apa wakil rakyat selama 16 tahun, kini dalam penjenamaan semula kami sudah mempunyai 19 Ahli Parlimen dan ramai ADUN termasuk golongan profesional serta mereka yang berpengalaman.
“Parti Wawasan adalah parti berbilang kaum. Semoga Parti Wawasan maju jaya pada PRU16,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam menerajui hala tuju parti tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Sementara itu, SuaraTV menerima senarai Ahli Jawatankuasa Pusat parti berkenaan yang menunjukkan beberapa tokoh politik berprofil tinggi menganggotai kepimpinan baharu Parti Wawasan Negara.
Berdasarkan dokumen tersebut, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dilantik sebagai Pengerusi parti, manakala Hamzah memegang jawatan Presiden. Datuk Tan Lek Khang pula dinamakan sebagai Timbalan Presiden.
Lima jawatan Naib Presiden diisi oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan, Datuk Leong Kim Soon, Datuk Mohd Omar Mustapha dan Huan Cheng Guan. Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Agung, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memegang jawatan Ketua Penerangan.
Senarai yang diterima turut memaparkan 25 Ahli Jawatankuasa Pusat yang terdiri daripada gabungan ahli politik, profesional dan tokoh masyarakat pelbagai latar belakang.
Perkembangan itu dilihat sebagai petunjuk jelas bahawa kumpulan yang dikaitkan dengan Hamzah sedang membentuk sebuah platform politik baharu berbilang kaum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16, susulan kemelut yang melanda Perikatan Nasional dan Bersatu sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Penjenamaan semula PCM kepada Parti Wawasan Negara juga berpotensi mengubah landskap politik pembangkang sekiranya proses penyusunan semula tersebut mendapat sokongan lebih luas daripada pemimpin dan penyokong sedia ada.



