KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelarian Rohingya yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan negara termasuk dalam hal berkaitan perniagaan dan pembinaan bangunan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kebanjiran penduduk Rohingya sudah dibincangkan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
“Nasihat kepada rakyat Myanmar, khususnya, Rohingya, mereka juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita.
“Bangunannya, perniagaannya mesti mengikut peraturan.
“Kita juga akan bincang dengan kerajaan negeri kerana isu bangunan dan perbandaran adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan mereka juga harus bertegas,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, lapor BH.
Mengulas mengenai isu penghantaran pulang penduduk Rohingya di negara ini, Anwar berkata, perkara itu membabitkan aspek kemanusiaan.
Katanya, ketika ini Kerajaan Myanmar menghalang penghantaran pulang rakyat Rohingya ke negara itu.
“Nak hantar ke mana? Sebab kita ada masalah dengan Kerajaan Myanmar yang menghalang.
“Kita juga belum berhasil untuk mencari jalan untuk dikirim ke negara ketiga dan juga pulang…Bukan sahaja kita, seluruh kawasan Bangladesh, ada jutaan pelarian termasuk di Cox’s Bazar,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan rakyat negara ini terutama masyarakat Islam untuk tidak mengambil tindakan sendiri.
“Saya harap rakyat kita terutama masyarakat Islam. Janganlah kita melanggar peraturan undang-undang dalam menangani masalah ini,” tegasnya.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai kewujudan koloni etnik berkenaan apabila sebuah lagi perkampungan mini etnik Rohingya ditemui tersorok di pinggir Jalan Sungai Tekali di Hulu Langat, dipercayai sudah bertapak sejak hampir 10 tahun lalu.
Lebih mengejutkan, penempatan berkeluasan kira-kira 0.4 hektar di atas tanah milik persendirian itu terletak hanya kira-kira satu kilometer (km) dari tapak tular baru-baru ini, di mana etnik berkenaan didakwa membina struktur kediaman seakan flat empat tingkat secara tidak sah.



