KUALA LUMPUR – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang memberitahu penyingkiran mana-mana komponen Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada keputusan suara majoriti.
Hal demikian kata Hadi, terpulang kepada Gerakan atau Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sama ada mahu menyokong Pas atau Bersatu untuk kekal dalam PN memandangkan dua parti berkenaan mengakhiri kerjasama politik.
“Terpulang kepada parti rakan-rakan lain. (Mengikut perlembagaan PN) mesti majoriti parti anggota membuat keputusan,” katanya di Marang pada Jumaat.
Sementara itu, mengulas kekalutan Pas dan Bersatu yang masih berada dalam gabungan itu meskipun tiada kerjasama politik, Hadi menegaskan jawatan pengerusi dipegang Pas, manakala parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih ahli komponen.
“Terpulang kepada dua-dua parti ini (Gerakan dan MIPP) hendak sokong kita atau sokong Bersatu.
“Kemudian pengerusi ini, dia buat Perlembagaan. Pengerusi ini ada kuasa seperti nak bagi simbol pilihan raya dan lain-lain. Dia buat seperti itu nak ikat kita.
“Sebab itu kita hendak lepas daripada ikatan itu, kita terpaksa buat begitulah,” jelas Ahli Parlimen Marang itu lagi.



