Jika Bersatu tidak mampu lagi bergerak dalam kerangka PN, wajar nilai semula kedudukan sendiri – Pas Selangor

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) bukan milik Bersatu juga bukan milik Pas.

PN adalah milik semua parti komponen yang membinanya bersama.

Ketua Pemuda Selangor Sukri Omar mengingatkan, jika ada pihak merasakan mereka tidak lagi mampu bergerak dalam kerangka tersebut, maka sewajarnya mereka menilai semula kedudukan mereka sendiri, bukannya mempersoalkan hak parti pengasas untuk terus memimpin dan memperkukuh gabungan ini.

“Kenyataan Dr Afif Bahardin yang mendakwa kedudukan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) menjadi janggal sekiranya tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap Bersatu adalah pandangan yang terbalik daripada realiti sebenar.

“Persoalan yang lebih tepat bukanlah mengapa Pas berada dalam PN, tetapi mengapa Bersatu masih mahu berada dalam PN sekiranya mereka berterusan mempertikaikan keputusan, kepimpinan dan hala tuju gabungan yang dipersetujui bersama,” kata Sukri dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, PN bukan ditubuhkan oleh Bersatu secara bersendirian.

Jelasnya, Pas adalah parti pengasas Perikatan Nasional dan merupakan antara penandatangan rasmi penubuhannya.

“Oleh itu, kedudukan Pas dalam PN tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu atau parti kerana Pas adalah sebahagian daripada asas yang membina gabungan ini sejak awal.

“PN bukan hanya terdiri daripada Pas dan Bersatu. Gabungan ini turut dianggotai oleh Gerakan dan MIPP. Maka masa depan PN tidak boleh ditentukan berdasarkan kepentingan, kehendak atau krisis dalaman satu parti sahaja.

“Tiada mana-mana parti mempunyai hak eksklusif ke atas PN.

“Pas kini merupakan parti terbesar dalam PN dari sudut keahlian, kekuatan jentera, jumlah kerusi yang dimenangi dan sokongan akar umbi.

“Pas juga memegang jawatan Pengerusi PN. Justeru, adalah tidak munasabah untuk menggambarkan Pas sebagai pihak yang perlu mempersoalkan kedudukannya dalam gabungan yang turut diasaskannya sendiri,” katanya.

Sukri memberitahu, sebuah gabungan politik memerlukan kestabilan, disiplin dan kepercayaan. Malangnya, Bersatu sejak beberapa tahun kebelakangan ini terus berdepan episod perpecahan, pertikaian dalaman, penghijrahan pimpinan serta ketidaktentuan hala tuju politik.

Jelas beliau, keadaan ini bukan sahaja melemahkan Bersatu, bahkan berisiko menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keseluruhan gabungan pembangkang.

“Pas tidak boleh terus dipaksa menanggung beban politik daripada krisis yang tidak berpunca daripadanya. Apabila sesebuah parti berdepan masalah dalaman yang berpanjangan, penyelesaiannya bukan dengan mengheret seluruh gabungan untuk menanggung kesannya, tetapi parti tersebut perlu melakukan pembetulan dan penstrukturan semula terhadap organisasinya sendiri.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak dalam Bersatu yang tidak lagi menghormati keputusan bersama, mempertikaikan kepimpinan gabungan secara terbuka atau meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan PN, maka secara logiknya merekalah yang perlu menilai semula kedudukan mereka dalam gabungan ini.

“PN tidak boleh dibina atas andaian bahawa survival politik Bersatu adalah syarat kepada kelangsungan gabungan. Hakikatnya, PN lebih besar daripada mana-mana satu parti. Sebuah gabungan yang sihat mesti bergerak atas dasar prinsip, integriti, kesepakatan dan kepentingan rakyat, bukannya menjadi tempat menyelesaikan konflik dalaman parti tertentu,” katanya.

Justeru Sukri menegaskan, Pas akan terus mempertahankan semangat muafakat, penyatuan rakyat dan pengukuhan blok pembangkang.

“Namun Pas juga tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan disiplin gabungan, penghormatan terhadap perlembagaan PN dan kestabilan organisasi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat