MALPTAAC lahirkan graduan TVET yang kompeten, profesional & berupaya memimpin

Oleh Zihan Zari

IPOH – Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bukan sahaja kompeten dari aspek teknikal dan profesional, malah mempunyai jati diri yang kukuh, berdisiplin serta berupaya memimpin, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Hj. Shamsuri Abdullah.

Shamsuri berkata pembangunan modal insan masa depan memerlukan keseimbangan antara kemahiran teknikal, nilai insaniah dan semangat cintakan negara.

Katanya, MALPTAAC menjadi platform terbaik untuk membentuk mahasiswa yang holistik, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan MALPTAAC Siri 17 di Padang Astaka, PUO dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Rancang & Pembangunan, Bahagian Pasukan Simpanan (BPS), Brigedier Jeneral Yazid Yusof; Komander Rejimen 503 Askar Wataniah (AW), Brigedier Jeneral Syed Nasir Sayed Mahadi; dan Timbalan Pengarah Akademik (TPA) PUO, Norman Zamri.

PUO sekali lagi mencipta sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah MALPTAAC Siri 17 Tahun 2026, yang berlangsung selama lima belas hari bermula pada 1 Jun dan berakhir pada 15 Jun ini merupakan kolaborasi strategik antara JPPKK dan; BPS Markas Tentera Darat Malaysia serta Rejimen 503 AW.

Penganjuran MALPTAAC kali ini amat signifikan kerana 25 tahun lalu, PUO merupakan tuan rumah bagi edisi pertamanya, dan pada tahun ini sekali lagi diberi penghormatan untuk menganjurkan program berprestij tersebut.

MALPTAAC merupakan program latihan tahunan AW Politeknik Malaysia yang diperkenalkan sejak tahun 1999 sebagai platform pembangunan sahsiah, kepimpinan, disiplin dan patriotisme dalam kalangan pelajar politeknik.

Bagi siri ke-17 tahun ini, program melibatkan penyertaan seramai 800 anggota AW Politeknik, 40 pensyarah dan 100 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari seluruh negara.

Sepanjang tempoh kem, para peserta akan mengikuti pelbagai latihan dan didedahkan aktiviti termasuk kawad kaki, merentas halangan, ujian menembak, multi relay, sukan serta Program Jiwa Murni bersama komuniti setempat.

Sementara itu, Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che’ Meh berkata, penganjuran MALPTAAC selaras dengan aspirasi PUO dalam memperkukuh pembangunan pelajar TVET yang holistik dan berkarakter tinggi.

“PUO berbangga diberi kepercayaan sekali lagi sebagai tuan rumah. Program ini bukan sahaja menguji ketahanan mental dan fizikal peserta, malah memupuk semangat kepimpinan, kerjasama serta patriotisme yang menjadi nilai penting dalam pembentukan graduan masa hadapan,” ulasnya lanjut.

MALPTAAC turut menjadi platform yang menyatukan pelajar daripada pelbagai politeknik di seluruh Malaysia, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan, persahabatan dan kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.

Penganjuran MALPTAAC kali ini membuktikan komitmen berterusan Politeknik Malaysia dan ATM dalam memperkasa pembangunan modal insan negara menerusi gabungan pendidikan teknikal, kepimpinan dan semangat patriotisme.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat