KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan parti itu akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia sehingga Pilihan Raya Umum akan datang, sambil mempertahankan haknya untuk menentukan hala tuju sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Rabu, menurut kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
MKT menegaskan bahawa sokongan UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 dan komitmen itu akan diteruskan sehingga pilihan raya akan datang.
Pada masa sama, UMNO menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor dibentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH).
Menurut kenyataan itu, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri, termasuk Johor.
“Maka UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti apabila menjelang mana-mana pilihan raya termasuklah PRN Johor dan Negeri Sembilan yang bakal ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” menurut kenyataan tersebut.
MKT turut menolak dakwaan bahawa keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, UMNO menyifatkan langkah tersebut sebagai amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan kerana memberi peluang kepada rakyat menentukan mandat baharu kepada kerajaan negeri masing-masing.
Dalam kenyataan sama, UMNO menegaskan bahawa parti itu kekal terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama politik dengan mana-mana pihak demi menjamin kestabilan politik negara serta kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, MKT menegaskan bahawa sebarang kerjasama yang ingin dibentuk mestilah berasaskan prinsip keikhlasan dan kepercayaan antara pihak-pihak yang terlibat.
Kenyataan itu dilihat sebagai respons terhadap perdebatan yang semakin hangat berhubung pendirian BN di Johor dan Negeri Sembilan menjelang pilihan raya negeri, termasuk dakwaan sesetengah pihak bahawa langkah mempertahankan mandat secara bersendirian boleh menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.



