KUALA LUMPUR – Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar menggambarkan krisis Pas-Bersatu dengan sandiwara politik “cerai tetapi masih serumah berebut kain selimut”.
Menurut Mahfuz, landskap politik tanah air hari ini terus dihidangkan dengan sebuah lagi episod sandiwara yang amat memuakkan.
Ujarnya, keputusan terbaharu kepimpinan Pas Pusat untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, namun pada masa yang sama enggan melepaskan jawatan peneraju dalam Perikatan Nasional (PN), adalah satu penghinaan terbuka kepada intelek dan kematangan rakyat Malaysia.
”Situasi janggal ini tidak ubah seperti pasangan suami isteri yang “sudah melafazkan talak telah di lafazkan di kedai kopi, tetapi masih mahu tinggal serumah dan berebut kain selimut.”
“Di atas kertas mereka mengisytiharkan perceraian, namun masih tinggal sebumbung dan kekal bersekedudukan semata mata kerana sayang dan berebut gilakan harta sepencarian iaitu jawatan, kuasa, dan pengaruh pentadbiran.
“Rakyat fikir soal masa depan negara. Mereka masih sibuk drama politik siapa nak tidur bilik mana,” tempelak Mahfuz.
Mahfuz berkata, rakyat melihat taktik politik oportunis ini sebagai satu bentuk penipuan kosmetik.
“Antara perkara yang paling dikesalkan ialah gila kuasa mengatasi prinsip: Jika benar Pas merasakan Bersatu tidak lagi relevan demi ‘penyatuan ummah’, mereka sepatutnya keluar dari PN secara terhormat. Keengganan meletak jawatan pengerusi dan mengosongkan struktur PN membuktikan bahawa “prinsip perjuangan” sentiasa tunduk di bawah “kepentingan survival poket politik”.
“Kalau benar ada prinsip, keluar terus dari PN. Jangan jadi parti yang mahu makan di dua meja dalam satu masa.”
“Takkan Pas nak tunggu sampai terlondeh kain pelikat dan tercabut Jubah ketika Berebut kain selimut baru nak terjun ikut tingkap.
“Memperbodohkan ahli akar umbi dengan penggunaan retorik agama dan hujah maslahah digunakan sebagai benteng untuk menghalang ahli bawahan daripada mempersoalkan tindakan “menikam rakan sekutu” . Rakyat marhaen sudah letih melihat nama Islam diperalatkan untuk menghalalkan strategi politik yang tidak berintegriti.
”Meletakkan beban kepada pihak lain: Taktik bertahan di dalam PN sementara memutuskan hubungan luar adalah strategi pengecut untuk memaksa Bersatu memulakan langkah menghalau mereka. Ini adalah politik kebudak budakan yang langsung tidak profesional.
“Ketika rakyat marhaen di luar sana sedang bergelut dengan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi, dan masa depan keluarga, pemimpin-pemimpin politik ini pula lebih sibuk bermain “wayang” menyusun strategi perceraian dan rujuk demi memastikan kerusi mereka selamat menjelang PRU16.
”Cukuplah memperbodohkan rakyat. Kami mendesak semua parti politik untuk menghentikan drama ‘perkahwinan plastik’ ini,” tegasnya.
Beliau mengingatkan, sekiranya sudah tidak sehaluan, berpisahlah sebagai jantan dan bermaruah.
“Jangan heret masa depan negara dan rakyat ke dalam bilik tidur politik yang penuh dengan kepura puraan,” bidas Mahfuz.


