KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu akan terus memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) walaupun PAS mengambil keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa, Muhyiddin berkata Bersatu menerima keputusan tersebut dengan rasa dukacita, namun menghormati pendirian yang dibuat oleh PAS.
“BERSATU melahirkan rasa dukacita kerana kerjasama yang dibina bersama PAS atas semangat dan persefahaman yang luhur telah dihentikan oleh PAS.
“Keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan BERSATU adalah atas kehendak PAS,” katanya.
Menurut beliau, sebagai parti pengasas PN, Bersatu akan terus kekal dalam gabungan itu dan memperkukuhkan teras perjuangannya demi rakyat.
“Sebagai parti pengasas Perikatan Nasional, BERSATU akan terus kekal dalam Perikatan Nasional dan memperkukuhkan teras perjuangannya,” katanya.
Muhyiddin berkata Bersatu akan terus memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa PN sejak penubuhannya serta mendokong hasrat rakyat yang mahukan perubahan dan kepimpinan yang mewakili aspirasi seluruh rakyat Malaysia.
Beliau turut menyeru seluruh pimpinan dan ahli parti supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan PN serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Ahli parti dan rakan seperjuangan harus fokus kepada usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional.
“Setiap lapisan pimpinan dan ahli mesti terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama malah lebih bersemangat dengan ujian terbaharu ini,” katanya.
Muhyiddin turut menyatakan keyakinan bahawa penyokong PN akan terus istiqamah bersama gabungan itu walaupun berdepan cabaran politik semasa.
“Saya yakin rakyat yang mendukung cita-cita Perikatan Nasional akan terus istiqamah bersama-sama kita,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat sehari selepas PAS mengumumkan keputusan rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu menerusi ketetapan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang memperakukan keputusan Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu.
Perkembangan itu menyaksikan berakhirnya secara rasmi hubungan politik antara PAS dan Bersatu yang sebelum ini menjadi dua tonggak utama dalam Perikatan Nasional. – SuaraTV


