KUALA LUMPUR – Keputusan PAS untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu adalah bukti PAS sebuah parti yang matang serta mengambil kira kepentingan penyatuan ummah.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata keputusan itu dibuat hasil pertimbangan syura serta penelitian mendalam selepas mengambil kira aspek dasar, hukum, perjuangan dan keutamaan penyatuan ummah.
“Pemuda PAS Selangor meyakini bahawa PAS sentiasa meletakkan kepentingan Islam, kestabilan negara dan masa depan rakyat mengatasi kepentingan politik jangka pendek atau sentimen individu tertentu,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Katanya, ketetapan sedemikian menunjukkan PAS satu parti yang matang dalam menjaga asas perjuangan untuk memastikan agenda penyatuan ummah terus diutamakan.
“Pendirian PAS untuk melihat bentuk persefahaman dan kerjasama pilihan raya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 bukti PAS ada sifat terbuka dan berpandangan jauh membina kekuatan ummah dan menjadikan blok pembangkang lebih tersusun,” katanya.
Bagi Pemuda PAS Negeri Selangor, sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi diberikan kepada langkah berkenaan serta berharap semua ahli bertenang dan memberi sepenuh kepercayaan kepada pimpinan parti.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan semalam menyifatkan tindakan PAS dibuat selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa keadaan hubungan kedua-dua parti.
Pada 2 Jun yang lalu, Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata PAS mengambil perhatian seriua terhadap krisis dan konflik yang berlaku dalam Bersatu yang dilihat ada memberi kesan ke atas Perikatan Nasional.



