KUALA LUMPUR- Pakar perunding psikiatri forensik Dr Chua Sze Hung berkata, ahli keluarga sukar menerima dan berada dalam keadaan penafian bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir membunuh diri.
Beliau memberi keterangan itu pada hari ke-72 inkues kematian Zara Qairina, apabila disoal peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah yang sekali lagi mendapatkan pengesahannya bahawa cara kematian kanak-kanak itu adalah konsisten dengan bunuh diri.
Dr Sze Hung bersetuju ketika ditanya sama ada Zara Qairina masih boleh mengalami tekanan emosi dan psikologi yang serius walaupun digambarkan sebagai seorang yang ceria.
Pakar itu turut bersetuju bahawa individu yang mempunyai kecenderungan membunuh diri mungkin menyembunyikan atau menutup keadaan mental sebenar mereka dan sengaja mengelak daripada menunjukkan tanda tekanan supaya tidak membimbangkan atau mengejutkan orang di sekeliling, khususnya ahli keluarga.
Bagaimanapun, Dr Sze Hung yang juga saksi ke-67 itu menegaskan terdapat unsur kecederaan diri tanpa niat membunuh diri (NSSI) dan kecederaan berbentuk ‘barcode’ yang menjadi tanda serta petunjuk tekanan emosi atau psikologi.
“Tujuan NSSI dilakukan adalah untuk mengawal emosi dan mengurangkan emosi negatif,” katanya menurut BH di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Pada prosiding terdahulu, Mahkamah Koroner diberitahu beberapa saksi bahawa Zara Qairina pernah menunjukkan tanda ‘barcode’ yang ada di tangannya kepada individu lain.
Abdul Fikry: Apabila pesakit mempunyai kecenderungan membunuh diri, adalah perkara biasa untuk ahli keluarga mengalami kejutan, penafian atau sukar mempercayai perkara itu selepas mengetahui pesakit sudah membunuh diri. Adakah anda bersetuju?
Dr Sze Hung: Setuju.
Abdul Fikry: Secara umumnya, kerana ahli keluarga tidak mengetahui pergolakan dalaman atau pemikiran untuk membunuh diri yang dialami pesakit, mereka benar-benar sukar menerima bahawa pesakit mengambil nyawanya sendiri. Adakah anda bersetuju?
Dr Sze Hung: Setuju.
Abdul Fikry: Reaksi penafian atau rasa tidak percaya daripada ahli keluarga bukan sesuatu yang luar biasa dalam kes bunuh diri, terutama apabila si mati kelihatan normal atau gembira sebelum kematian. Adakah anda bersetuju?
Dr Sze Hung: Setuju.
Abdul Fikry: Namun, kesukaran ahli keluarga menerima kemungkinan bunuh diri itu dengan sendirinya tidak menafikan dapatan forensik atau psikologi yang konsisten dengan bunuh diri. Adakah anda bersetuju?
Dr Sze Hung: Setuju.



