Oleh Zihan Zari
MERSING – Kerajaan MADANI komited dalam memastikan kelestarian khazanah hutan negara melalui pelaksanaan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine 2022 (PIRECFS 2022), kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh.
Menurut Syed Ibrahim, pemantauan biodiversiti secara menyeluruh mampu membantu pihak berkaitan memahami kefungsian serta ketersambungan koridor hutan dalam negara secara optimum.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Eksplorasi Biodiversiti di Rangkaian Ekologi Central Forest Spine Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Mersing, Johor di Dewan Permata Marjan Politeknik Mersing, dekat sini, pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) , Dato’ Hj. Roslan Rani; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Mohd Syahrir Azrin Salleh; Ahli Lembaga Pengarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Datuk Md. Jais Hj. Sarday; dan Timbalan Pengarah Politeknik Mersing, Azreen Khamis.
Syed Ibrahim berkata Eksplorasi Biodiversiti merupakan penganjuran julung kali di bawah inisiatif PIRECFS 2022 untuk mengumpulkan data saintifik berkaitan status semasa kesihatan hutan serta taburan biodiversiti flora dan fauna di kawasan RE CFS di Semenanjung Malaysia.
Katanya, pendekatan ini sekaligus dapat membantu pihak jabatan memahami kefungsian dan ketersambungan koridor hutan melalui pemantauan biodiversiti secara komprehensif.
Dalam pada itu, Eksplorasi Biodiversiti bermula 18 hingga 22 Mei 2026 dianjurkan oleh JPSM dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) sebagai langkah strategik memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti negara.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 120 peserta terdiri daripada penyelidik, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar pelbagai disiplin termasuk bidang ekologi, flora, fauna, geologi, sosio ekonomi, bioinformatik dan kecerdasan buatan.
Penglibatan rentas sektor ini mencerminkan pendekatan bersepadu yang melibatkan
keseluruhan jentera kerajaan, masyarakat dan negara dalam agenda pemuliharaan
biodiversiti negara.
Melalui eksplorasi ini, data saintifik berkaitan status semasa biodiversiti flora dan fauna yang terdapat di Rangkaian Ekologi CFS khususnya di Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Mersing akan dikumpulkan bagi memperkukuh perancangan serta pelaksanaan inventori biodiversiti secara sistematik pada masa hadapan.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (LoI) antara JPNJ dan UTHM bagi pembangunan Living Lab Central Forest Spine Kluang dan Mersing, Johor. Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh penyelidikan, pendidikan, dan inovasi serta pembangunan kapasiti berkaitan pemuliharaan biodiversiti negara.
Pada masa sama, Program Sahabat CFS turut diperkenalkan sebagai platform strategik
memperkukuh penglibatan komuniti setempat dalam usaha menjaga, memantau dan melindungi kawasan rangkaian ekologi daripada ancaman seperti pencerobohan hutan, pemburuan haram dan konflik hidupan liar.
JPSM akan terus memperkukuhkan pelaksanaan PIRECFS 2022 melalui kerjasama erat bersama kerajaan negeri, jabatan dan agensi berkaitan, institusi akademik, pihak swasta, NGO serta komuniti tempatan bagi memastikan khazanah biodiversiti negara terus terpelihara demi kesejahteraan generasi masa hadapan.-SUARA.TV



