KUALA LUMPUR – Kenyataan Khairy Jamaluddin bahawa gaya politik Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh masih diperlukan dalam Umno adalah sesuatu yang mengecewakan.
Penasihat DAP Lim Guan Eng berkata, Khairy dilihat seolah-olah menyatakan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin membiarkan gaya politik Akmal yang sering mencetuskan kontroversi kerana wujud ‘ancaman jelas dan nyata’ di sebelah kanan politik, yang kini dikuasai Perikatan Nasional (PN).
“Dua kesilapan tidak akan menghasilkan satu kebenaran. Jika PN dianggap salah kerana melayan tindakan ekstremis dan gaya kontroversi demi memperkukuh sokongan nasionalis Melayu, maka adalah sama salahnya untuk pemimpin Pemuda Umno mengikut jejak langkah yang sama.
“Ini adalah sosok Khairy yang sangat berbeza berbanding ketika beliau dipecat oleh Zahid Hamidi sebelum ini.
“Pada ketika itu, Khairy memperjuangkan pendekatan tanpa mengira kaum serta dasar-dasar progresif yang digambarkannya sebagai adil dan bermanfaat untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Jelas sekali, cubaan Khairy untuk ‘membersihkan’ tindakan Akmal yang tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab ini membuktikan bahawa kedua-dua Umno dan Khairy adalah golongan progresif palsu,” tempelak pemimpin DAP itu.
Kata Ahli Parlimen Bagan itu lagi, Umno telah menunjukkan cita-cita rakusnya untuk mendapatkan kuasa dengan apa cara sekalipun dengan menikam rakan gabungannya dari belakang dalam cubaan rampasan kuasa yang gagal untuk merampas kerajaan negeri Negeri Sembilan, serta pengisytiharan perang secara sepihak di Johor dengan mengumumkan niat Umno dan BN untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam pilihan raya negeri Johor yang akan datang.
“Bagi mereka yang pernah meletakkan harapan dan jangkaan yang tinggi terhadap Khairy, kini mereka boleh melihat bahawa kedua-dua Khairy dan Umno telah membuktikan bahawa “harimau tidak akan kehilangan belangnya” (sifat sebenar seseorang sukar berubah),” katanya.
Terdahulu, Khairy berkata, pendekatan politik lama dibawa Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh masih mempunyai tempat dalam parti itu, ketika Umno cuba bergerak ke depan dan menawarkan pendekatan baharu kepada pengundi Melayu.
“Akmal memegang jawatan yang tepat sebagai ketua Pemuda Umno kerana sayap itu secara tradisinya menjadi ‘jentera pendesak’ parti.
“Saya tidak memainkan peranan tradisi sebagai penggerak sentimen akar umbi ketika menjadi ketua Pemuda Umno, walaupun ada juga masanya. Tetapi hari ini, dengan isu-isu identiti digunakan sebagai senjata politik untuk mendapatkan sokongan Melayu, Akmal perlu memainkan peranan itu,” katanya.
Khairy berkata, Zahid berkemungkinan melihat Akmal sebagai ‘penampan’ bagi politik sedemikian, sambil beliau sendiri menampilkan diri sebagai pemimpin parti yang lebih bersifat negarawan dan mampu mengawal pandangan yang bercanggah.



