KUALA LUMPUR – PKR mengesahkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa menjadi kosong susulan pengumuman Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad keluar daripada parti itu hari ini.
Dalam kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata parti itu telah menerima rakaman ucapan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut yang mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen serta keluar daripada KEADILAN.
Menurut beliau, berdasarkan Fasal 9(1)(c) Perlembagaan PKR, keanggotaan mereka tergugur secara automatik sebaik pengisytiharan keluar parti dibuat.
“Pengisytiharan itu adalah jelas bertepatan dengan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut selepas dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik,” katanya.
Fuziah berkata beliau selaku Setiausaha Agung akan merujuk dua kes Ahli Parlimen itu kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung status mereka berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu sekali gus mengesahkan PKR mengambil pendirian bahawa kekosongan kerusi berlaku melalui mekanisme anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, PKR turut memaklumkan akan menentukan status keanggotaan Ahli Parlimen lain daripada parti itu yang hadir dalam program pengumuman hala tuju politik Rafizi dan Nik Nazmi hari ini.
Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan mereka akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa Isnin, 18 Mei sebelum keluar daripada PKR mulai Selasa dan menyertai Parti Bersama Malaysia.



