KUALA LUMPUR – Kemunculan saluran i24NEWS dalam Bahasa Melayu mencetuskan persoalan sama ada media berpangkalan di Israel itu sedang membuka laluan baharu untuk menembusi ruang maklumat khalayak Melayu-Islam di Nusantara.
Saluran itu muncul ketika perang Gaza masih belum reda dan usaha damai tajaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berdepan kebuntuan berikutan isu pelucutan senjata Hamas serta pelaksanaan pelan pentadbiran semula Gaza.
i24NEWS sendiri memperkenalkan rangkaian itu sebagai saluran berita antarabangsa yang membawa berita dari Timur Tengah, Israel dan dunia, manakala saluran rasminya turut beroperasi dalam beberapa bahasa termasuk Inggeris, Perancis, Ibrani dan Arab.
Berdasarkan paparan saluran YouTube “i24NEWS Dalam Bahasa Melayu”, kandungan itu dinyatakan sebagai dilokalkan, dialih suara dan dijana pendapatan oleh Linguana. Platform Linguana pula menyatakan ia membantu saluran YouTube melokalkan video, membina penonton global dan berkongsi hasil pendapatan.
Lebih menarik, saluran tersebut turut memaparkan emel untuk pertanyaan penajaan dan pengiklanan, sekali gus menunjukkan sasaran mereka bukan sekadar tontonan, tetapi juga pasaran komersial tempatan.
Persoalannya, mengapa Bahasa Melayu?
Malaysia, Indonesia dan Brunei merupakan sebahagian daripada dunia Islam Nusantara yang sangat aktif di media sosial dan secara tradisinya kuat bersimpati dengan perjuangan Palestin.
Justeru, apabila media Israel mula bercakap dalam Bahasa Melayu, ia sukar dilihat sebagai langkah biasa. Ia boleh dibaca sebagai usaha memasuki ruang persepsi khalayak Islam secara lebih langsung, khususnya ketika naratif mengenai Gaza, Hamas, Israel dan pelan damai Trump sedang dipertarungkan di peringkat antarabangsa.
Dalam era algoritma, perang tidak hanya berlaku melalui peluru dan misil, tetapi juga melalui bahasa, video pendek, tajuk berita dan pengulangan naratif.
Bahasa Melayu menjadi pintu masuk yang halus tetapi berkesan. Apabila sesuatu naratif disampaikan dalam bahasa sendiri, ia terasa lebih dekat, lebih mudah difahami dan lebih mudah mempengaruhi emosi khalayak.
Sebab itu kemunculan i24NEWS Bahasa Melayu wajar diberi perhatian.
Ia bukan sekadar terjemahan.
Ia mungkin permulaan operasi naratif baharu untuk membentuk semula cara masyarakat Melayu-Islam melihat Israel, Palestin dan perang yang sedang berlangsung di Gaza.- SuaraTV



