KUALA LUMPUR – Lidah yang menghina sahabat nabi tidak akan melahirkan hati yang mencintai Rasulullah SAW.
Ketua Pemuda Pas Selangor Mohamed Sukri Omar mengingatkan, mereka bukan sempurna seperti para nabi, tetapi mereka adalah manusia terbaik selepas para nabi.
“Jangan kerana cakap lepas menurut nafsu, kita hilang adab terhadap generasi yang dipuji langit.
“Cintailah para sahabat. Hormatilah pengorbanan mereka.
“Jagalah lidah daripada cercaan terhadap mereka. Kerana di atas pengorbanan merekalah Islam sampai kepada kita hari ini,” tegasnya.
Maka kata Sukri, budaya menghina sahabat atas nama “kajian sejarah”, “kebebasan berfikir” atau cakap lepas adalah budaya yang sangat berbahaya.
Jelas beliau, ia bukan sekadar merosakkan adab, bahkan boleh meruntuhkan asas penghormatan terhadap agama itu sendiri. Kerana Islam sampai kepada kita melalui para sahabat.
“Hakikatnya, membenci para sahabat sering menjadi pintu kepada kebencian terhadap Rasulullah sendiri.
“Kerana orang yang benar-benar mencintai Nabi tidak akan sanggup menghina insan yang paling dicintai dan dipercayai oleh Baginda.
“Abu Bakar al-Siddiq mempertahankan Nabi ketika semua manusia mendustakan Baginda.
“Umar al-Khattab mengangkat keadilan Islam sehingga digeruni empayar dunia, menginfakkan kekayaannya demi perjuangan Islam.
“Ali bin Abi Talib tidur di tempat Nabi ketika nyawa Baginda terancam.
“Khalid al-Walid menjadi pedang Allah di medan jihad.
“Bilal bin Rabah diseksa di padang pasir kerana kalimah tauhid.
“Mereka bukan sempurna seperti para nabi, tetapi mereka adalah manusia terbaik selepas para nabi.
“Jangan kerana cakap lepas menurut nafsu, kita hilang adab terhadap generasi yang dipuji langit,” katanya.
Sukri menegaskan, para sahabat Rasulullah bukan manusia biasa dalam sejarah Islam. Mereka adalah generasi yang dipilih oleh Allah untuk hidup bersama Nabi, menerima wahyu secara langsung, mempertahankan Islam dengan darah dan air mata serta memikul amanah dakwah ketika dunia memusuhi kebenaran.
Merekalah generasi yang meninggalkan rumah, harta, keluarga bahkan nyawa demi Islam. Ada yang diseksa di padang pasir, dipulaukan, dibunuh ahli keluarga sendiri, berhijrah meninggalkan tanah air dan berperang mempertahankan aqidah.
“Kita hari ini menikmati Islam dalam keadaan aman. Tetapi mereka menerima Islam ketika pedang dihunus ke leher,” katanya.
Sejak semalam tular siri video memaparkan ceramah Nik Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah – Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib – mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam.
Antara lain Nik Zawawi mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang “bapa ceti” yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah. Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.
Sukri memberitahu, kita mencintai semua sahabat. Kita mendoakan mereka. Kita menjaga lidah daripada kebencian dan penghinaan.
“Ya, para sahabat adalah manusia. Ada khilaf dan ijtihad sesama mereka.
“Tetapi perbezaan itu tidak pernah menghapuskan kemuliaan mereka sebagai generasi terbaik umat ini,” tegur beliau.



