MAHA 2026 diteruskan, galakkan aktiviti pertanian negara – Mohamad Sabu

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Kerajaan telah membuat keputusan untuk meneruskan acara  Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show 2026 (MAHA 2026) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dari 28 Ogos hingga 6 September ini, umum Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Hj. Mohamad Sabu.

Mohamad berkata walaupun dunia dan negara sedang berhadapan dengan Krisis Bekalan Global, namun MAHA 2026 tetap diteruskan, ini kerana acara MAHA termasuk dalam salah satu usaha penting kerajaan untuk menggalakkan aktiviti pertanian di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Road to MAHA 2026 Peringkat Zon Utara di North Atrium, Aman Central, dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan

Keterjaminan Makanan (KPKM), Dato’ Luqman Ahmad; Setiausaha Bahagian (SUB) bagi Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) merangkap Ketua Sekretariat MAHA, Datuk Dr. Mohd Haniff Hassan; Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Dato’ Dr. Ismail Salleh; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dato’ Wira Hj. Mahfuz Omar; dan Presiden Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, dalam keadaan geopolitik dunia dan perubahan iklim yang semakin tidak menentu di dekad ini, maka segala usaha untuk meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara akan menjadi keutamaan dan tekad kerajaan MADANI.

Ujarnya, kerajaan sentiasa memahami dan prihatin terhadap cabaran kesulitan modal, yang sedang dihadapi golongan pesawah sekarang ini dalam memastikan kelangsungan pengeluaran sektor agromakanan negara. Justeru pihak Agrobank ada menyediakan pakej pinjaman modal kepada pesawah.

“Agrobank telah bersetuju untuk memberikan diskaun 50 peratus (%) ke atas kadar keuntungan bagi pinjaman ini. Butiran lanjut mengenai inisiatif ini akan dikeluarkan oleh pihak Agrobank, ”ujarnya lagi.

Beliau turut melancarkan Truck Road to MAHA 2026 yang menjadi simbolik kepada gerakan promosi dan hebahan MAHA 2026 ke seluruh negara.

Inisiatif tersebut dilihat mampu memperluas capaian maklumat berkaitan MAHA 2026 kepada masyarakat serta meningkatkan keterlibatan orang ramai terhadap pelbagai pengisian dan aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang ekspo berkenaan.

Dalam pada itu, penganjuran Road to MAHA 2026 Zon Utara oleh KPKM merupakan sebahagian daripada siri promosi awal menjelang penganjuran MAHA 2026 selain  mendekatkan aspirasi dan pengisiannya kepada masyarakat khususnya komuniti peladang, usahawan, golongan belia serta pengunjung di utara Semenanjung.

Program ini juga menjadi platform bagi memperluas kesedaran mengenai potensi sektor agromakanan negara serta peranan pertanian sebagai antara sektor penting dalam menjamin keterjaminan makanan negara.

Konsep Road to MAHA bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia telah diperkenalkan dalam edisi-edisi MAHA terdahulu sebagai program promosi awal menjelang penganjuran ekspo berkenaan.

Bagi MAHA 2026, pendekatan ini diteruskan dan diperkukuh melalui pelaksanaan program di beberapa lokasi seluruh negara bagi membawa semangat MAHA lebih dekat kepada rakyat di peringkat negeri dan komuniti.

Program ini berfungsi sebagai platform jelajah dan libat urus yang mempromosikan MAHA lebih awal, meningkatkan kesedaran masyarakat serta menggalakkan penyertaan petani, pesawah, penternak, nelayan, usahawan, golongan belia dan agensi kerajaan.

Pelbagai pengisian Road to MAHA 2026 yang berlangsung pada 9 hingga 10 Mei 2026 termasuk jualan produk melibatkan seramai 18 orang usahawan bimbingan MADA dan Jualan Agro MADANI (JAM) yang memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk keluaran masing-masing secara lebih meluas kepada masyarakat.

Penyertaan usahawan dalam program seperti ini secara tidak langsung membantu memperkenalkan produk tempatan, memperkukuh jaringan pemasaran serta membuka peluang kepada peningkatan pendapatan usahawan di peringkat masyarakat.

Selain itu, Road to MAHA 2026 turut menyaksikan penyampaian geran dan peruntukan di bawah agensi KPKM di Zon Utara, iaitu :

· Projek Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2026 RMKe-13 kepada MADA: RM38,476,000.00;

· Projek Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2026 RMKe-13 kepada LPP Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak:  RM30,705,277.00;

· Program Agropreneur NextGen kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perlis, Kedah dan Pulau Pinang: RM318,580.00;

· Projek Pembangunan Agromakanan kepada Jabatan Pertanian (DOA) Kedah: RM1,832,990.00;

· Bantuan Sistem Penyampaian&Khidmat Sokongan Pengembangan (SPeKS) Pengembangan dan Bantuan SPeKS Akuakultur kepada Jabatan Perikanan (DOF) Kedah: RM537,630.00;

· Program Ternak Ruminan, Bukan Ruminan dan Peningkatan Ruminan Kecil kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Kedah: RM687,010.00;

· Program Pembangunan Keusahawanan Tahun 2026 kepada Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) Kedah dan Pulau Pinang: RM442,000.00;

· Bantuan Insentif Pembaikan Imej Produk, Peralatan dan Outlet Pemasaran kepada FAMA Perlis, Kedah dan Pulau Pinang: RM861,900.00.

KPKM berharap penganjuran Road to MAHA 2026 Zon Utara dapat menjadi medium terbaik dalam memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan, peladang dan usahawan tempatan di samping menyokong usaha memperkasa sektor agromakanan negara. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat