Umno Selangor konsisten pertahan institusi kesultanan daripada hinaan, fitnah, provokasi dan cubaan memperlekeh martabat Sultan Selangor

KUALA LUMPUR – Umno Selangor mengingatkan semua pihak sewajarnya menghormati serta memahami kedudukan dan peranan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menurut lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, tanpa cuba mempolitikkan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap titah serta pandangan Baginda.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan, Umno Selangor menegaskan bahawa mereka kekal konsisten dalam menjunjung dan mempertahankan institusi Kesultanan Negeri Selangor daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah, provokasi mahupun cubaan memperlekehkan martabat Sultan Selangor.

“Sebelum ini, Umno Selangor turut konsisten tampil mempertahankan titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi di negeri Selangor yang cuba diputarbelitkan oleh pihak tertentu, selain mengecam tindakan biadab menyunting dan menghina imej Sultan Selangor yang jelas melampaui batas adab, budaya serta prinsip menghormati institusi Raja.

“Bagi Umno Selangor, institusi Raja Melayu adalah payung negeri, lambang perpaduan rakyat serta benteng kestabilan yang wajib dipelihara dan dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar politik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Megat Zulkarnain lagi, dalam suasana politik yang semakin mencabar hari ini, Umno Selangor menyeru semua pihak agar lebih matang, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi Kesultanan serta tidak menjadikan perkara melibatkan Sultan Selangor sebagai bahan polemik politik sempit.

“Umno Selangor menyokong penuh, menjunjung kasih serta menyambut baik kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor bertarikh 6 Mei 2026 berhubung peranan dan tanggungjawab Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.

“Kenyataan tersebut amat penting dalam memperjelaskan kepada rakyat bahawa setiap titah, nasihat, teguran dan peringatan Sultan Selangor adalah selari dengan semangat Raja Berperlembagaan serta peranan Baginda sebagai Ketua Negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.

“Umno Selangor berpandangan bahawa institusi Raja bukan sekadar simbol semata-mata, tetapi merupakan sebahagian penting dalam sistem semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa berjalan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Tumpuan utama semua pihak seharusnya adalah kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, memperkukuh kestabilan negeri serta memastikan pentadbiran berjalan dengan berkesan selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini,” katanya.

Semalam, ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor mempertahankan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sempena pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor pada 20 April lalu, sambil menegaskan teguran Baginda adalah selari dengan konsep Raja Berperlembagaan.

Dewan di-Raja Selangor turut menegaskan Menteri Besar Selangor dikehendaki berunding dengan Sultan dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Menurut kenyataan itu lagi, pandangan dan nasihat Sultan Selangor dibuat berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi kepentingan politik.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat