KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa menempelak kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memandang serius kenyataan Lim Guan Eng terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Annuar berkata, kenyataan sekadar “memandang serius” tidak membawa sebarang makna selagi UMNO tidak berani bertindak serius terhadap DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
“Setakat ‘memandang serius’ saja tak ada makna apa-apa, selagi tak berani bertindak serius,” katanya dalam komen di Facebook Wan Rosdy hari ini.
Beliau turut mendakwa UMNO Pahang sendiri sebelum ini menolak perpaduan dan kerjasama sesama parti Melayu, sebaliknya memilih untuk mengangkat DAP sebagai kerajaan.
“Pahang sendiri menolak perpaduan dan kerjasama sesama parti Melayu, tetapi memilih untuk mengangkat DAP jadi kerajaan,” katanya.
Menurut Annuar, pendirian itu menunjukkan UMNO Pahang tidak mempedulikan sentimen orang Melayu di negeri tersebut.
“UMNO Pahang tidak peduli pada sentimen orang Melayu di Pahang. Wajarlah mereka ditolak orang Melayu, dan kini dihina DAP,” katanya lagi.
Terdahulu, Wan Rosdy dalam kenyataan medianya berkata beliau memandang serius kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan UMNO dan BN sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan.
Wan Rosdy turut mengingatkan Lim supaya tidak menjadi “batu api” yang mampu mencetuskan masalah lebih besar dalam hubungan antara parti-parti kerajaan.



