SHAH ALAM – Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor mempertahankan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sempena pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor pada 20 April lalu, sambil menegaskan teguran Baginda adalah selari dengan konsep Raja Berperlembagaan.
Dalam kenyataan bertarikh 6 Mei 2026, Dewan di-Raja Selangor menyangkal pandangan serong sebahagian pemimpin politik dan pihak tertentu yang mendakwa titah Sultan Selangor mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut kenyataan itu, titah Sultan bukan campur tangan politik, sebaliknya merupakan nasihat seorang Raja bagi memastikan segala tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
“Titah adalah penggunaan bahasa Istana untuk ucapan seorang Raja atau Sultan yang bermaksud nasihat di dalam bahasa standard atau harian.
“Titah D.Y.M.M. Sultan adalah bagi memastikan segala tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Dewan di-Raja Selangor turut menegaskan Menteri Besar Selangor dikehendaki berunding dengan Sultan dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Katanya, rundingan itu bermaksud Sultan mempunyai hak untuk diberi sembah maklum oleh Menteri Besar mengenai urusan pentadbiran negeri.
“Rundingan membawa maksud bahawa D.Y.M.M. Sultan mempunyai hak untuk diberi sembah maklum oleh YAB Menteri Besar mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan Baginda Sultan mengetahui apa yang berlaku di samping memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pandangan dan nasihat Sultan Selangor dibuat berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi kepentingan politik.
Dewan di-Raja Selangor berkata sebarang nasihat, teguran dan peringatan oleh Sultan Selangor adalah teguran penting seorang Raja bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
“D.Y.M.M. Sultan sering menitikberatkan tindakan yang efektif dan bukan janji-janji kosong dalam menyelesaikan masalah rakyat bersesuaian dengan peranan Baginda Sultan sebagai Ketua Negeri,” menurut kenyataan itu.
Malah, Dewan di-Raja Selangor turut memaklumkan Sultan Selangor kerap menerima aduan rakyat berkaitan masalah banjir, kutipan sampah, jalan berlubang serta pelbagai isu lain yang memberi kesan kepada kehidupan harian rakyat.
Menurut kenyataan itu, aduan tersebut bukan surat layang kerana pengadu turut menyertakan nama, alamat dan nombor telefon bagi membuktikan mereka benar-benar memerlukan perhatian Baginda terhadap kesulitan yang dihadapi.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan reaksi beberapa pihak terhadap titah Sultan Selangor ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 pada 20 April lalu.



